BANDAR KUWAIT, 15 Jan – Sebuah pesawat penumpang Eurowings yang menuju ke Jerman dari Oman telah mendarat di Kuwait hari ini berhubung ancaman bom namun tiada bahan letupan ditemui di dalamnya, kata pihak berkuasa.
Pesawat Airbus A330 dari Salalah menuju ke Cologne itu adalah pesawat No. EW117 Eurowings, telah mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait di Bandar Kuwait selepas kapten menerima ancaman, kata jurucakap bagi pihak berkuasa penerbangan awam Kuwait, Mansour al-Hashemi.
Pegawai keselamatan berkata tiada tanda bahan letupan dalam pesawat berkenaan, kata al-Hashemi. Dia enggan untuk membincangkan bagaimana ancaman itu telah dibuat ke atas pesawat berkenaan.
Eurowings berkata terdapat 287 penumpang dan 10 anggota kru di dalamnya, yang telah diterbangkan oleh SunExpress bagi pihaknya.
Eurowings berkata penerbangan itu telah dicarter oleh syarikat pelancongan FTI.
Pesawat itu telah dialihkan ke Kuwait ‘atas alasan keselamatan dan konsultasi bersama pihak berkuasa yang relevan,” kata Eurowings dalam satu kenyataan yang diemelkan, tanpa menghuraikan lebih lanjut.
Syarikat penerbangan itu menambah bahawa pesawat itu akan berlepas pada jam 1 pagi Isnin untuk menuju ke Cologne ketika pengehadan sah ke atas kerja maksimum kru telah menghalangnya daripada meninggalkan Kuwait dengan segera. Untuk sementara waktu, katanya, para penumpang akan ditempatkan di sebuah hotel.
Eurowings adalah subsidiari pesawat pengangkutan udara Lufthansa, Jerman yang mula menawarkan penerbangan langsung dari Cologne ke Salalah pada Oktober. – AP