Pesawat komersial pertama berlepas dari Kabul

KABUL, 13 SEPT – Sebuah pesawat komersial antarabangsa berlepas dari Kabul hari ini, yang pertama sejak Taliban mengambil alih kuasa bulan lalu, memberikan sedikit harapan kepada warga Afghan yang masih terdesak meninggalkan negara itu.

Lapangan terbang Afghanistan mengalami kerosakan teruk selepas pemindahan huru-hara diketuai AS ke atas lebih 120,000 orang dan Taliban sejak itu berusaha memastikan ia kembali beroperasi seperti biasa dengan bantuan teknikal dari Qatar dan negara-negara lain.

Hari ini, sebuah pesawat Pakistan International Airlines mendarat di Kabul, sebelum berlepas balik ke Islamabad.

Seramai 70 orang menaiki pesawat ke ibu negara Pakistan, kebanyakannya warga Afghan yang merupakan sanak saudara kakitangan organisasi antarabangsa seperti Bank Dunia, menurut petugas di lapangan terbang itu.

“Saya dipindahkan. Destinasi terakhir saya ialah Tajikistan,” kata seorang daripada kakitangan Bank Dunia yang dipindahkan tanpa mendedahkan namanya. – AFP

Penumpang menaiki pesawat Pakistan International Airlines di lapangan terbang Kabul. –AFP