Thursday, April 25, 2024
27.9 C
Brunei

    -

    Pesawat pertama bawa bantuan tiba di Tonga

    WELLINGTON, 20 JAN – Pesawat pertama membawa air bersih dan bantuan lain ke Tonga akhirnya tiba hari ini selepas landasan lapangan terbang utama negara Pasifik itu dibersihkan daripada abu akibat letusan gunung berapi besar baru-baru ini.

    New Zealand dan Australia masing-masing menghantar setiap sebuah pesawat pengangkutan tentera yang membawa kontena air, kit bagi perlindungan sementara, generator, peralatan kebersihan dan komunikasi. Pesawat Australia juga mempunyai penyapu khas yang membantu membersihkan landasan lapangan terbang.

    Penghantaran dibuat dengan tatacara letak dan pergi tanpa sebarang kontak antara tentera dan orang lain di lapangan terbang di Tonga. Ini kerana Tonga terdesak untuk memastikan warga asing tidak membawa bersama mereka koronavirus. Ia tidak merekodkan penularan COVID-19 dan hanya melaporkan satu kes sahaja sejak pandemik bermula.

    Laksamana Muda James Gilmour, komando Angkatan Bersama New Zealand mengatakan terdapat usaha ‘besar-besaran’ oleh pasukan tentera Tonga untuk ‘membersihkan landasan menggunakan tangan. Dan mereka berjaya melakukannya petang ini.

    Australia mengatakan bantuan akan membantu kerajaan Tonga memenuhi keperluan komuniti dan sokongan dalam usaha pembersihan segera.

    Selain dua buah negara itu, Jepun juga telah berjanji akan menghantar bantuan kecemasan, termasuk air minuman dan peralatan untuk membersihkan abu gunung berapi. Dua pesawat Hercules C-130 dan kapal pengangkutan membawa helikopter Chinook CH-47 akan meninggalkan negara itu berlepas ke Tonga selewat-lewatnya hari ini, kata kementerian pertahanan.

    Dalam pada itu, pegawai kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) melaporkan kira-kira 84,000 orang – lebih 80 peratus populasi Tonga – telah terkesan letusan gunung berapi itu, kata jurucakap PBB, Stephane Dujarric, menekankan terdapat tiga kematian, kecederaan, kehilangan rumah dan pencemaran air.

    Komunikasi masih lagi terhad selepas letusan dan tsunami pada Sabtu lalu yang merosakkan kabel fiber optik yang menghubungkan Tonga dengan seluruh dunia. Ini bermakna orang ramai belum dapat menggunakan internet atau membuat panggilan ke luar negara, meskipun rangkaian telefon tempatan masih berfungsi secara terhad. – AP

    Gambar serahan dan dikeluarkan oleh Angkatan Tentera Diraja Australia pada 20 Januari menunjukkan pesawat C-17A Globemaster III Angkatan Udara Diraja Australia menghantar bantuan pertama Australia ke Lapangan Terbang Antarabangsa Fua’amotu. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...