GAITHERSBURG, MARYLAND, 28 NOV – Dua orang yang terperangkap dalam pesawat kecil yang merempuh tiang kuasa voltan tinggi di Maryland, berjaya diselamatkan awal hari ini.
Insiden itu menyebabkan gangguan kuasa elektrik besar-besaran di daerah tersebut.
Ketua Bomba Montgomery County, Scott Goldstein berkata kapal terbang itu terperangkap pada talian kuasa hidup kira-kira 100 kaki dari tanah pada pukul 12:16 pagi dan mangsa pertama berjaya dikeluarkan dari kapal terbang pada 12:25 pagi, manakala mangsa kedua dikeluarkan pada 12:36 pagi.
Kedua-dua lelaki, juruterbang Patrick Merkle, 65, dan penumpang Jan Williams, 66, mengalami ‘kecederaan serius’ akibat nahas dan telah dibawa ke pusat trauma, selain mengalami hipotermia, kata Goldstein.
Menurut Pentadbiran Penerbangan Persekutuan, pesawat yang berlepas dari White Plains, New York, merempuh menara elektrik berdekatan Lapangan terbang Montgomery di Gaithersburg pada kira-kira jam 5:40 petang semalam.
Syarikat utiliti Washington Pepco berkata ia berjaya memulihkan perkhidmatan elektrik untuk semua pelanggan yang terjejas akibat insiden itu.
Pejabat Pengurusan Kecemasan dan Keselamatan Dalam Negeri Montgomery berkata pekerja masih berusaha mengeluarkan pesawat dari talian elektrik.
Punca nahas masih dalam siasatan. – AP