GENEVA, 10 SEPT – Sebuah pesawat yang terbang dari Zurich ke Sepanyol hujung minggu ini tiba tanpa sebarang bagasi penumpang di dalamnya, tanpa disedari para penumpang, laporannya disiarkan oleh media pada hari ini, di mana syarikat penerbangan itu telah menyalahkan kekurangan kakitangan lapangan sebagai punca insiden itu.
Para penumpang yang menaiki penerbangan syarikat Swiss menuju ke bandar Sepanyol, Bilbao, petang kelmarin telah menunggu lebih dua jam di sekitar pengangkutan bagasi untuk mengambil bagasi, namun usaha mereka sia-sia, seperti yang dilaporkan akhbar Blick.
Jurucakap syarikat itu, Kavin Ampalam mengesahkan pesawat kendalian Swiss bagi pihak Edelweiss Airlines, berlepas bersama 111 penumpang tanpa bagasi.
“Kekurangan kakitangan adalah penyebabnya,” katanya kepada AFP, sambil menambah kru pesawat telah menunggu situasi diperbetulkan.
Namun, selepas “satu jam dan 16 minit, situasi tetap tidak berubah dan atas sebab-sebab operasi, kami memutuskan untuk teruskan penerbangan ke Bilbao tanpa bagasi penumpang,” jelasnya.
Menurut penjelasan beliau, keputusan itu diambil kerana perlunya mengambil penumpang di Bilbao dan mengembalikan pesawat ke Zurich sebelum lapangan terbang ditutup pada waktu malam. – AFP
