Pesawat tergelincir ragut tiga nyawa

ANKARA, 6 FEB – Tiga orang terbunuh dan 179 cedera apabila sebuah kapal terbang tergelincir di landasan lapangan terbang Istanbul, terbakar dan terputus kepada tiga selepas mendarat dalam keadaan cuaca buruk.

Gambar yang disiarkan secara langsung di televisyen Istanbul menunjukkan beberapa orang memanjat menerusi satu rekahan besar dalam pesawat udara dan keluar dari salah satu sayap di belakang.

Boeing 737 yang dikendali oleh syarikat penerbangan tambang murah Pegasus Airlines telah tiba di lapangan terbang Sabiha Gokcen di Istanbul dari bandar pelabuhan Aegean Izmir semalam, lapor televisyen NTV.

Kapal terbang itu mengalami angin kencang dan hujan lebat di Istanbul, bandar terbesar Turki.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Fahrettin Koca berkata pesawat berkenaan membawa 177 penumpang dan enam anak kapal, lapor agensi berita Anadolu. Laporan media Turki berkata terdapat 12 kanak-kanak dalam pesawat itu.

“Mengikut maklumat yang kami peroleh, pesawat itu tergelincir kerana mendarat secara mengejut,” kata Menteri Pengangkutan Mehmet Turhan.

Gabenor Istanbul, Ali Yerlikaya berkata pesawat itu menjunam dari ketinggian kira-kira 30 meter ke tebing.

Siasatan telah dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian dan lapangan terbang ditutup sementara.

Turkish Airlines telah menangguhkan sementara semua penerbangan keluar dan masuk dari lapangan terbang itu. – AFP

Anggota menyelamat berusaha mengeluarkan penumpang daripada bangkai kapal terbang Pegasus Airlines selepas ia tergelincir di landasan sebaik sahaja mendarat di lapangan terbang Sabiha Gokcen di Istanbul. – AFP