Pesawat terhempas, Kenya gesa siasatan dijalankan

NAIROBI, 5 MEI – Menteri luar negara Kenya hari ini menggesa agar siasatan segera dijalankan selepas sebuah pesawat hak asasi manusia yang membantu melawan wabak koronavirus telah terhempas di Somalia dalam kejadian yang ‘tidak jelas’, membunuh enam orang penumpang.

Pesawat kargo persendirian itu menjalankan misi kemanusiaan berkaitan dengan pandemik apabila ia terhempas kelmarin di daerah Bardale di Selatan Somalia, kata menteri. Pegawai berkata sekurang-kurangnya enam orang penumpang dalam pesawat ketika perjalanan dari Baidoa ke Bardale, lebih kurang 300 kilometer timur laut ibu kota Somalia, Mogadishu.

“Pesawat itu akan mendarat di landasan Bardale ketika ia terhempas dan hangus dijilat api. Kesemua enam orang penumpang terkorban di tempat kejadian,” Abdulahi Isack, pegawai polis tempatan memberitahu AFP.

“Kami kurang pasti punca pesawat membawa bekalan perubatan itu terhempas, tetapi siasatan masih dijalan-kan untuk mengetahui punca sebenar.”

Kenya menggesa Somalia ‘untuk telus dan segera menjalankan siasatan mengenai perkara itu kerana ia memberi kesan kepada operasi kemanusiaan pada masa yang sangat diperlukan’. “Kejadian berlaku dalam keadaan tidak jelas,” kata menteri luar negara dalam kenyataan, meluahkan ‘rasa terkejut dan kesal’ dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

Kumpulan militan Al-Shabaab sangat aktif di Selatan Somalia, tetapi kawasan di mana kejadian terhempas berlaku di kawasan kawalan kerajaan dan tentera Etiopia. Tentera dari Etiopia dan Kenya antara yang telah dikerahkan ke Somalia sebagai sebahagian dari misi keamanan Kesatuan Afrika (AU) untuk melawan peningkatan kumpulan Islamis, yang mengawal kawasan luar bandar. – AFP