PESEBAR adakan lawatan ke Mukah

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Jan – Rombongan seramai 11 orang dari Persatuan Sejarah Brunei (PESEBAR) telah bertolak ke Mukah, Sarawak dengan menggunakan bas bagi mengadakan lawatan dan penyelidikan tempat-tempat bersejarah yang terdapat di daerah berkenaan.

Rombongan PESEBAR diketuai oleh Setiausaha Kehormat PESEBAR, Profesor Dr Haji Hasbol bin Haji Mail dan Penolong Setiausaha Kehormat PESEBAR, Dr Mohd Hadi bin Mohd Melayong di mana lawatan itu berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga 12 Januari.

Rombongan PESEBAR akan menjadi tetamu kepada Amanah Akhirat Yayasan Melayu Sarawak dengan mengadakan pertemuan bersama beberapa generasi warga emas di Mukah bagi mengetahui lebih mendalam lagi maklumat-maklumat persejarahan hubungan Brunei dan Mukah khususnya ketika Dinasti Brooke mula bertapak di Kuching pada tahun 1840an.

Antara lain tujuan kunjungan rombongan PESEBAR ke Mukah adalah bagi membuat penyelidikan sejarah mengenai hubungan antara Brunei dan Mukah berdasarkan peninggalan kesan sejarah yang terdapat di daerah itu sekali gus dapat mewujudkan kerjasama dalam bidang penyelidikan dan kajian sejarah selaras dengan matlamat penubuhan PESEBAR.

Rombongan PESEBAR sebelum bertolak ke Mukah, Sarawak dengan menggunakan bas.