PESEBAR lancar enam buku sejarah

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MAC – Penerbitan buku-buku sejarah dapat memastikan persejarahan tanah air di setiap peringkat sentiasa dihidupkan dan dikekalkan sebagai lambang ketamadunan dan peradaban Negara Brunei Darussalam.

Ia juga adalah sesuatu yang wajar menjadi tumpuan dalam usaha memastikan pensejarahan negara dihayati setiap generasi terutama generasi muda, agar mereka mempunyai kesedaran tentang asal usul mereka, ketahanan diri dan semangat jati diri yang kental.

Perkara itu ditekankan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin semasa berucap pada Majlis Pelancaran Buku Penerbitan
PESEBAR dan Perasmian Mesyuarat Agung PESEBAR ke-8 di Dewan Jawatan Dalam, Pusat Sejarah Brunei di ibu negara.

Menurut beliau lagi, dalam era globalisasi tanpa sempadan ini, kesedaran sejarah memainkan peranan kritikal sebagai bentng kukuh dan efektif dalam menghadapi cabaran luar yang boleh mengancam nilai-nilai teras rakyat Brunei.

“Pada masa yang sama, di sinilah juga peluang keemasan untuk memanfaatkan Revolusi Industri 4.0 demi meluaskan lagi skop serta kaedah penyebaran sejarah terutama kepada generasi baharu.

“Tidak dapat dinafikan bahawa penggunaan teknologi digital telah dan terus membentuk dan mengubah kehidupan seharian kita, tidak terkecuali dalam usaha untuk meneruskan rasa kecintaan dan kebanggaan terhadap tamadun negara bangsa,” ujarnya.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan sebelum itu melancarkan enam buah buku sejarah karya dan tulisan ahli-ahli PESEBAR dengan kerjasama Pusat Sejarah Brunei. Kebanyakan buku ini adalah terjemahan dari terbitan asalnya ditulis dalam Bahasa Melayu kecuali buku Melayu Islam Beraja: Amanat 1984 karya Pemangku Yang DiPertua PESEBAR, Dr Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan melihat lebih dekat buku-buku yang baharu dilancarkan tersebut.