Peserta angkat berat harumkan nama Negara

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 FEB – Peserta angkat berat Negara Brunei Darussalam, Abdul Malik Al Mukkaramah bin Haji Mohd Yussof mengharumkan nama negara setelah meraih pingat emas dalam Kategori Lelaki Bawah 80kg dalam Kejohanan Angkat Berat Asia Pasifik 2020 yang diadakan di Solitude of Strength Singapura, baru-baru ini.

Rakan senegaranya, Abdul Hakim bin Haji Mohd Yussof turut mengangkat nama negara dalam sukan itu setelah berjaya meraih pingat gangsa bagi angkatan seberat 250kg dalam kategori yang sama.

Abdul Malik yang bertanding di bawah Persatuan Angkat Berat Kebangsaan Negara Brunei Darussalam bersama-sama dengan Abdul Hakim, hampir memecahkan rekod Asia iaitu 300kg setelah berjaya melakukan angkatan seberat 270kg.

Dianjurkan oleh Strongman Singapore, di mana kejohanan Asia Pasifik ini merupakan kejohanan petama yang menerapkan sistem ranking untuk kesemua atlet dari benua ASEAN dan Asian Pasifik. Kejohanan tersebut dibukakan kepada semua negara dari benua ASEAN dan Asia Pasifik termasuk Hong Kong, Australia, New Zealand, China, India dan Kepulauan Pasifik.

Seramai 18 orang peserta yang mengambil bahagian dalam Kategori Bawah 80kg, termasuk peserta-peserta dari negara ASEAN.

Tahun ini menyaksikan peserta mengambil bahagian dalam junior campuran, masters dan adaptive classes dalam usaha untuk menjadikan sukan tersebut lebih terbuka dan berkembang maju.

Hadir mengalukan kedua-dua peserta negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Presiden Persatuan Angkat Berat Negara Brunei Darussalam, Harun bin Haji Ahmad.

Peserta angkat berat Negara Brunei Darussalam ketika sesi bergambar ramai – Gambar serahan Malik Yusof