Peserta CPAC disahkan positif COVID-19

WASHINGTON, 8 MAC – Seorang peserta perhimpunan pemimpin kanan golongan konservatif, yang turut dihadiri Presiden Donald Trump dan Naib Presiden Mike Pence, diuji positif dengan wabak koronavirus (COVID-19), kata pegawai kelmarin.

Persidangan Bertindak Politik Konservatif (CPAC) adalah antara perhimpunan terbesar yang disertai ahli politik daripada golongan itu dan sering menarik kehadiran ribuan peserta. Persidangan yang diadakan berhampiran Washington pada 26 hingga 29 Februari itu turut dihadiri anggota kabinet dan pegawai kanan Rumah Putih.

“Hospital New Jersey yang menjalankan ujian ke atas individu terbabit mengesahkan beliau dijangkiti COVID-19,” kata penganjur, Kesatuan Konservatif Amerika di Twitter.

“Pesakit itu tidak membuat sebarang kontak rapat dengan presiden atau naib presiden, dan tidak menghadiri acara di dewan utama,” menurut kenyataan itu lagi.– AFP