Peserta kapal belia anjur kempen kebersihan

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Sept – Para peserta Kapal Belia Brunei ke-45 telah mengadakan aktiviti kemasyarakatan membersihkan kawasan Peranginan Tasek Lama, di sini, hari ini.

Kempen kebersihan sambil mengamalkan hidup sihat yang disokong oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) ini membawa tema ‘Be Kind, Clean Up and Be Fit’.

Para peserta bersama orang ramai yang turut serta dalam aktiviti berkenaan membersihkan kawasan-kawasan trek pendakian Tasek Lama.

Dengan adanya program yang berobjektif mempromosikan gaya hidup sihat melalui aktiviti yang disediakan sambil membersihkan sekitar kawasan Tasek Lama ini, para peserta akan dapat membentangkannya semasa program kapal belia nanti.

Selain itu, aktiviti ini berobjektif untuk menggalakkan gaya hidup sihat dengan melakukan olahraga pada waktu pagi; untuk menanam rasa cinta pada persekitaran yang baik dan bersih dengan mengumpul sampah-sarap di sepanjang trek pendakian; membina hubungan belia dengan berbagai-bagai organisasi dari segi persahabatan dan sebagainya serta memperbaiki kemahiran komunikasi melalui aktiviti hiburan.

Para peserta Kapal Belia Brunei ke-45 bergambar ramai setelah mengadakan aktiviti kemasyarakatan membersihkan kawasan Peranginan Tasek Lama.

Para peserta dibahagikan kepada tiga kumpulan untuk membersihkan tiga zon utama yang dikenal pasti. Para peserta dan orang ramai yang ikut serta hanya perlu memilih zon-zon yang disertai.

Sejurus selepas program, para peserta mengumpulkan sampah-sarap yang dikutip dan ditimbang sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe).

Terdahulu, Pengurus Projek, Awang Mohammad Nabil Fikri bin Mudim Haji Suhaili dalam ucapan ringkasnya menjelaskan kepada para peserta aktiviti ini mengenai tujuan ia diadakan.

Sebelum aktiviti dimulakan, para peserta dan orang ramai menyertai senamrobik dan kemudiannya bergambar ramai.

Setelah kempen kebersihan dan mendaki bukit diadakan, beberapa aktiviti dan permainan juga disediakan bagi menyerikan lagi program tersebut.