Peserta negara sertai kayuhan amal

Oleh Normazlina M.D

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Jan – Kumpulan Berbasikal Ekspedisi Sukarelawan Tutong (BEST) bersama beberapa kumpulan berbasikal tempatan di negara ini telah menyertai acara Kayuhan Amal Kastam 2019 yang diadakan di Padang Merdeka, Kota Kinabalu, Sabah, kelmarin.

Turut hadir menyertai kayuhan tersebut ialah Pengerusi Kumpulan BEST, PW1(B) Haji Aminuddin bin Haji Abdul Karim.

Menurut beliau, mereka bersama kira-kira 1000 orang peserta lainnya telah berjaya mengikuti kayuhan sejauh 37 kilometer yang bermula dan berakhir di lokasi yang sama.

Penyertaan kumpulan berkenaan dalam acara tersebut adalah bertujuan untuk menimba pengalaman berharga bersama para pengayuh luar negara selain mengeratkan hubungan silaturahim sesama mereka.

PW1(B) Haji Aminuddin turut berharap dengan menyertai acara yang diadakan di luar negara seperti itu akan dapat memberi pengalaman yang berguna sekali gus menerapkan gaya hidup yang sihat menerusi sukan berbasikal.

Pengayuh basikal BEST dan beberapa kumpulan berbasikal lainnya bergambar ramai setelah menyertai Kayuhan Amal Kastam 2019 di Kota Kinabalu, Sabah, kelmarin.