Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OGOS – Para peserta Program Projek Inovasi Luar Negara (OIPP) China-Brunei telah berjaya menamatkan program tersebut dan menerima sijil penyertaan mereka dalam Majlis Penutup Program OIPP yang berlangsung di Universiti Teknologi Brunei (UTB), hari ini.
Majlis itu menandakan berakhirnya program selama dua minggu yang dikendalikan oleh UTB dengan kerjasama School of Microelectronics (SME), Tianjin University (TJU) serta mengetengahkan pencapaian dan pengalaman yang diperoleh peserta-peseta program.
Hadir di majlis berkenaan ialah Duta Besar Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Xiao Jianguo; Naib Canselor UTB, Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman, pegawai-pegawai kanan UTB serta para peserta program OIPP.
Pada majlis berkenaan, TYT Xiao Jianguo dalam ucapannya menyatakan bahawa China dan Brunei meletakkan penekanan yang tinggi kepada pendidikan dan bersama-sama telah melaksanakan pertukaran mesra dan kerjasama praktikal dalam bidang berkenaan.
Beliau mendedahkan bahawa UTB mempunyai hubungan kerjasama yang amat baik dengan TJU dan Universiti Chongqing di China di mana mereka kerap mengendalikan program akademik dan pelajar.
Di samping itu, tambahnya, kedua-dua negara juga telah menubuhkan model perusahaan universiti seperti projek-projek kejuruteraan petrokimia dan kerajaan China juga menawarkan biasiswa kepada pelajar-pelajar muda Brunei untuk belajar di China.
TYT Xiao Jianguo berkata semua usaha itu mengetengahkan kerjasama pendidikan dua hala dan pertukaran rakyat bagi memupuk bakat pembangunan sosial dan ekonomi untuk kedua-dua belah pihak.
Majlis seterusnya menyaksikan TYT Xiao Jianguo menyempurnakan penyampaian sijil kepada para peserta program yang terdiri daripada 11 orang pelajar TJU dan UTB.
Program OIPP direka untuk menawarkan para pelajar antarabangsa peluang untuk memperkayakan pengalaman pembelajaran, meningkatkan kemahiran praktikal dan kreatif, memupuk perspektif global serta mengukuhkan hubungan antara inistitusi rakan kongsi ASEAN.
Program itu telah dihoskan oleh Jabatan Kejuruteraan Elektronik dan Elektrikal, UTB di mana ia mengetengahkan projek Low Powered Robotics-Designing Automatic Tracking Robot Car.