Peserta Program Talaqqi terima sijil

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JAN – Seramai 32 orang peserta Program Talaqqi Kitab Turath bagi Orang Awam menerima sijil mereka pada majlis penutup program tersebut yang diadakan di Dewan Ta’lim, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), hari ini.

Program anjuran KUPU SB melalui Pusat Penyelidikan dan Pengajian Jawi dan Kitab Turath KUPU SB itu telah dijalankan selama 12 minggu bermula pada 10 Oktober hingga 30 Disember 2020 yang lalu.

Hadir bagi menyempurnakan penyampaian sijil kepada peserta-peserta ialah Raes KUPU SB, Dr Haji Adanan bin Haji Basar selaku tetamu kehormat majlis.

Program diadakan bagi memberi peluang kepada masyarakat umum untuk mempelajari dan mendalami jawi serta kitab turath secara bertalaqqi di samping meningkatkan kualiti dan pengetahuan para peserta dalam mencari dan menemukan pelbagai macam tulisan jawi dan kitab turath sebagai khazanah keilmuan Islam.

Antara kitab-kitab yang diketengahkan dalam program ini termasuk kitab Tajul Ajul, kitab Matan As Sanusiyyah, kitab Kifatul Ghulam, kitab Iddah al-Bab li Muriddin Nikah, kitab Ad Durr At Thamin dan kitab Hikam Jawi.

Turut hadir ke majlis tersebut ialah Pemangku Timbalan Raes KUPU SB, Dr Abang Haji Hadzmin bin Haji Abang Taha, Pemangku Penolong Raes, Dr Hajah Noor Hira binti Haji Noor Kaseh, pegawai-pegawai utama dan pensyarah KUPU SB.

Dr Haji Adanan menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta. – Gambar serahan KUPU SB