Peserta tilawah dan hafaz Al-Quran berentap di KL

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 April – Peserta qari dan qariah negara telah berlepas ke Kuala Lumpur hari ini, bagi mengikuti Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-61 di Kuala Lumpur, Malaysia.

Ini merupakan kali pertama Haji Mohammad Albi bin Haji Ibrahim dan Dayangku Fauziah Nadhirah binti Pengiran Haji Jofri mewakili negara ke tilawah tersebut yang akan bermula esok hingga 21 April.

Berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat berlayar ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang.

Rombongan negara diketuai oleh Haji Madzneh bin Haji Mohd Noor, seorang jurulatih, Haji Mohd Zainul Ariffin bin Haji Ridwan Lubis dan pegawai pengiring, Hajah Siti Mahyana binti PSKDPSS Dr Ustaz Haji Awang Yahya.

Ketika ditemu bual media, kedua-dua wakil Brunei itu menyatakan harapan untuk memberi persembahan terbaik sekali gus mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

Gambar beramai rombongan bersama Haji Mohd Serudin.

Haji Mohammad Albi menjelaskan, pelbagai persiapan telah dibuat untuk mempersiapkan diri ke tilawah kali ini yang bukan saja latihan secara persendirian tapi juga menghadiri latihan yang diaturkan oleh KHEU.

Beliau seterusnya menambah, KHEU juga banyak membantu dan menyokong dalam latihan dan membimbing untuk persediaan dalam Tilawah berkenaan.

Dayangku Fauziah Nadhirah turut berkongsi persiapan untuk ke tilawah ini selain membuat latihan yang diadakan selama sebulan sebelum Tilawah ini, pihak kementerian juga mengadakan bengkel-bengkel dengan mendatangkan qari yang pakar dalam bidang bacaan Al-Quran.

Di samping itu, beliau juga menghadiri bengkel intensif selama sebulan untuk qari dan qariah negara yang akan mewakili negara ke pertandingan di luar negara.

Negara Brunei Darussalam telah menyertai Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa berkenan selama 50 tahun.