Saturday, April 20, 2024
26.6 C
Brunei

    -

    Pesona kek agar-agar 3D

    Gambar Tran Phuong Nga

    HANOI – Hanya dengan jarum dan tiub suntikan, Tran Phuong Nga menyuntik agen pewarna ke dalam agar-agar yang jernih, dengan teliti mencipta bunga, daun dan elemen hiasan lain yang kelihatan sangat hidup dan akhirnya, sebiji kek agar-agar dengan keindahan karya seni yang boleh dimakan tercipta.

    Bunga berwarna-warni, haiwan comel, kisah cinta yang indah atau lagu romantis telah menjadi inspirasi tanpa batasan bagi kanvas tiga dimensi Nga yang terdiri daripada agar-agar yang jernih. Makan kek agar-agar ini sama seperti menikmati satu karya seni, memuaskan mata dan deria rasa.

    Artis berpusat di Hanoi ini membuat kek seni agar-agar 3D pertamanya pada tahun 2015 untuk menggembirakan anak lelakinya kerana ia merupakan salah satu hidangan kegemarannya. Pada ketika itu, seni ini trending di Vietnam dan popular di negara-negara Asia Tenggara seperti Thailand, Malaysia dan Singapura.

    Pemahaman pertama Nga mengenai pembuatan kek seni agar-agar diperolehi melalui video dalam talian di mana artis antarabangsa mempersembahkan teknik mereka. Berbeza dengan menggunakan agar-agar seperti pencipta kek-kek tersebut dari luar negara, Nga mengadun sendiri bahan-bahan untuk agar-agarnya bagi menghasilkan ciptaannya sendiri termasuk serbuk jeli, daun pandan dan buah naga sebagai pewarna semulajadi serta santan kelapa dan buah-buahan untuk mencipta rasa.

    Eksperimentasi karya dan kaedah

    Kek pertama beliau mempunyai corak bunga yang dihasilkan dengan menggunakan penyedut minuman bukannya jarum suntikan, dan memakan masa hampir tiga jam untuk disiapkan. Walaupun tidak sempurna, ia mendapat pujian daripada ramai rakan Facebook beliau, dan memberinya semangat untuk terus bereksperimen dengan kaedah yang berbeza. Setelah beberapa kali gagal, beliau akhirnya berjaya mencipta resipi sendiri untuk kek yang bukan sahaja lazat rasanya, malahan indah dipandang.

    Nga semasa memproses ciptaan asas kek agar-agarnya di kediamannya.
    Hasil seni Nga banyak diinspirasikan oleh keindahan bunga, haiwan comel atau melodi indah.

    Kek agar-agar 3D daripada corak bunga kekwa hasil karya Nga.
    Nga semasa menerima gelaran ‘Pengajar Terbaik’ dalam pertandingan kek agar-agar antarabangsa dalam 2018.
    Nga dianugerahkan gelaran ‘Artisan Budaya Kulinari Desa Tradisional Vietnam pada November 2020.

    Menurut Nga, peralatan asas untuk membuat kek seni agar-agar termasuklah acuan kek, satu atau dua jarum suntikan yang diubah suai dan tiub suntikan. Bahan-bahan untuk penciptaan dan warna karya seni agar-agarnya adalah daripada sumber semulajadi yang mudah didapati, contohnya kuning daripada serbuk labu, hijau daripada teh matcha, biru daripada bunga telang atau coklat daripada coklat.

    Membuat kek agar-agar ini melibatkan beberapa langkah. Pertama adalah mengadun asas agar-agar yang perlulah jernih sejernihnya untuk mencipta kek yang sempurna. Setelah menyediakan agen pewarna dari bahan semulajadi, Nga akan membentuk corak hiasan di dalam agar-agar asas. Akhirnya, agar-agar akan dituang ke dalam acuan kek dan dibiarkan sejuk.

    “Semua empat langkah sama pentingnya. Adalah penting untuk teliti dan berhati-hati dalam setiap langkah untuk mencipta kek atau karya seni yang cantik dan sedap,” kata si pencinta kek berusia 42 tahun itu.

    Suka tema bunga

    Nga merupakan salah seorang pencinta bunga, maka kebanyakan karyanya berinspirasikan bunga-bungaan seperti kekwa, ros, bunga matahari atau teratai.

    Sebelum menghasilkan kek agar-agar, beliau tidak berlatih melukis, sebaliknya beliau akan mengkaji bunga yang akan dimasukkan ke dalam karyanya, menelitinya daripada kelopak daun dan cabangnya, atau sekadar mengamatinya sehingga beliau dapat merasai keindahannya.

    Beberapa jenis bunga dapat dibuatnya dengan segera dan mudah, manakala yang lain mengambil masa bertahun-tahun untuk disempurnakan.

    Selain tema popular seperti bunga atau haiwan yang kelihatan realistik, karya seni Nga juga mengandungi cerita-cerita yang terinspirasi daripada kenangan dan lagu.

    Perlu kesabaran dan ketekunan

    Nga memerlukan kesabaran, teliti dan ketekunan setiap kali membuat kek agar-agar berseni 3Dnya. Semakin besar keknya, semakin rumit pembuatannya. Beliau pernah membuat kek besar dengan saiz sehingga 1m x 0.75m dengan reka bentuk ikan koi, kolam teratai, atau bunga teratai, seperti untuk Festival Buddha Antarabangsa pada tahun 2019 di Pagoda Tam Chuc, Vietnam.

    Kecintaan mendalamnya terhadap seni makanan membuatkannya memutuskan untuk berhenti daripada pekerjaannya selama 12 tahun di sebuah organisasi kerajaan untuk mendedikasikan diri sepenuhnya kepada penghasilan karya seni 3D dalam kek agar-agarnya dan tidak pernah menoleh ke belakang lagi.

    “Sejak saya mula membuat kek seni agar-agar 3D ini, saya memahami erti keghairahan dan bertekad untuk melepaskan banyak perkara untuk mengejar impian saya. Boleh melakukan apa sahaja yang saya sukai adalah satu kebebasan dan gembira melakukannya adalah satu kebahagian. Saya bertuah memiliki kedua-duanya,” katanya.

    Kepakaran itu juga membolehkan Nga melancong ke pelbagai tempat, bertemu dengan orang-orang yang mempunyai minat yang sama dan memberi inspirasi kepada orang lain.

    Ramai warganet terpesona dengan karya seninya dan bertanyakan pengalaman beliau, yang telah memotivasikannya untuk melancarkan kursus pembuatan kek agar-agar 3D dalam talian pertama di Vietnam. Kursus-kursus ini dihadiri oleh pelajar-pelajar dari Vietnam dan juga pelajar antarabangsa dari negara jauh seperti Malaysia, Jerman dan Amerika Syarikat.

    Pada tahun 2017, pelajar pertamanya, yang berpusat di Taiwan, memenangi tempat kedua dalam pertandingan seni kek agar-agar antarabangsa di Malaysia. Setahun kemudian, pasukan Vietnam di bawah bimbingan Nga memenangi tempat pertama dan banyak lagi tempat utama dalam pertandingan di Taiwan, sementara Nga sendiri dianugerahkan gelaran Pengajar Terbaik.

    Dalam tahun-tahun berikutnya, beliau juga kerap dijemput menjadi seorang hakim dalam beberapa pertandingan yang diadakan di Korea Selatan, Malaysia dan negara-negara lain.

    Pembuat kek itu bahkan dianugerahkan gelaran ‘Artisan Budaya Kulinari Desa Tradisional Vietnam’ pada November 2020 sebagai pengiktirafan terhadap dedikasi tanpa henti beliau dalam seni ini. – ANN/Vietnam News

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...