KUANTAN, 1 Jan – Kedengaran suara pelancong yang masing-masing bukan sahaja kagum melihat kerlipan kelip-kelip, malah teruja apabila kawanan serangga itu terbang ke arah mereka.
Begitu ‘mesra’ kelip-kelip berterbangan hinggap di kepala, tangan dan pakaian, malah pada bot yang dinaiki pada malam itu.
Penulis adalah antara pelancong dan pengunjung yang menyertai kembara menelusuri Sungai Cherating, di Cherating, terletak kira-kira 45 kilometer dari Kuantan, untuk melihat keindahan kerlipan kelip-kelip di situ baharu-baharu ini.
Paya bakau di sekitar sungai berkenaan adalah habitat semulajadi kelip-kelip, yang dikenali sebagai kunang-kunang atau api-api.
Pengendali bot kami pada malam itu, Mohd Hafiz Abdul Majid, 47, yang terkenal sebagai ‘firefly whisperer’ mula memperlahankan bot setelah beberapa minit meninggalkan jeti. Kelihatan kerlipan kelip-kelip apabila kami menoleh ke arah rimbunan pepohon di tebing sungai itu.
Hafiz mengemudi bot kemudian mematikan enjinnya. Kelihatan cahaya kelip-kelip tadi tiba-tiba semakin terang, lantas kawanan serangga itu terbang ke arah bot, melewati dan menghinggapi kami untuk seketika.
Tidak terdengar sebarang ungkapan kecuali suara-suara kekaguman, walaupun hakikatnya terdapat 50 pelancong dalam lima buah bot di situ.
Dalam keadaan terpesona melihat kelip-kelip berterbangan ke arah kami, penulis mencuri pandang tindak-tanduk Hafiz yang berdiri di bahagian belakang bot. Beliau membuat beberapa pergerakan tangan sambil memegang lampu kecil samar jingga kemerahan.
Penulis terfikir, begitulah caranya Hafiz ‘memanggil’ kelip-kelip.
Hafiz mengemudi lagi dan mengulangi perkara sama beberapa kali. Satu jam berlalu pantas, sekembali ke jeti setiap pelancong kegembiraan dengan leretan pujian mengenai pengalaman menakjubkan itu.
Hafiz, yang mengusahakan syarikat pelancongan menawarkan aktiviti melihat kelip-kelip, menelusuri sungai, memancing, melihat penyu bertelur dan melepaskan anak penyu, sangat arif dengan selok-belok pelancongan di Cherating, terutamanya melihat kelip-kelip serta telah berkecimpung dalam industri itu sejak 11 tahun lepas.
Beliau bijak melayan pelancong, jadi tidak hairanlah jika pemilik Hafiz’s Cherating Activities tercatat di dalam buku panduan pelancongan terkemuka dunia, Lonely Planet.
Hafiz memberitahu Bernama bahawa kaedah memanggil kelip-kelip diperolehnya secara tidak sengaja ketika membelek lampu suluh yang malap sewaktu bersendirian menelusuri sungai, sembilan tahun lepas.
“Tiba-tiba kelip-kelip terbang dekat saya. Saya terfikir, tentu lampu malap tarik perhatian serangga itu,” katanya.
Kemudian beliau belajar mengenai sifat kelip-kelip dan mendapati kelajuan dan frekuensi cahaya, jarak lampu dari bot ke tebing sungai mampu memikat kelip-kelip.
“Saya ubah suai lampu suluh, buat perkiraan dan uji beberapa kali sebelum dapat hasil macam sekarang, menggunakan empat cahaya berbeza,” jelasnya.
Bagaimanapun, Hafiz yang cuba menggunakan teknik sama untuk memanggil kelip-kelip di beberapa tempat lain mendapati ia tidak berkesan.
“Mungkin, spesies berbeza mempunyai ‘bahasa’ tersendiri,” katanya.
‘Hubungan’ Hafiz dengan kelip-kelip Sungai Cherating semakin diketahui ramai dan aktiviti kembara melihat kelip-kelipnya semakin popular dalam kalangan pelancong.
Aktiviti Hafiz menarik minat beberapa pakar kelip-kelip dan alam semulajadi untuk menjalankan kajian dan pemuliharaan. Hasil kajian dikongsi dengan beliau untuk digunakan ketika aktiviti pelancongannya.
“Saya bernasib baik, pakar-pakar mahu membantu. Barulah saya sedar bahawa maklumat internet yang dikumpul sebenarnya salah. Kelip-kelip ‘saya’ jenis lain.
“Mereka banyak mengajar saya tentang kelip-kelip dan alam semulajadi. Sejak itu saya perkenalkan aktiviti yang menekankan pendidikan eko-pelancongan,” jelas beliau.
“Saya akui, dulunya aktiviti melihat kelip-kelip macam satu pertunjukan. Saya suluh pokok, goncang dahan sampai kelip-kelip terbang tidak tentu arah. Nampaklah banyak kelip-kelip. Lepas sejam, saya bawa pelancong balik ke jeti,” jelas beliau.
Bagaimanapun, kini, aktvitinya dimulakan dengan sesi taklimat mengenai kelip-kelip, kawasan paya bakau dan Sungai Cherating. Beliau juga mengingatkan pelancong agar tidak menggunakan lampu suluh, kamera atau telefon bimbit ketika melihat kelip-kelip.
“Cahaya biasa tidak sesuai untuk kelip-kelip. Memang mustahil untuk ambil gambar. Jadi, hanya perlu relaks dan ‘enjoy’ nanti. Jika kelip-kelip hinggap, jangan dipicit, jangan dipukul,” pesannya.
Menurut Hafiz, kelip-kelip di Sungai Cherating adalah dari spesies Pteroptyx Bearni iaitu jenis ‘non-synchronous’, maksudnya kerlipan tidak selaras, masing-masing berkelip sendiri tanpa dipengaruhi kelip-kelip lain.
“Cahaya kelip-kelip jantan lebih cerah daripada betina. Corak kerlipan berbeza berdasarkan tujuan, sama ada untuk mengawan, memberi amaran dan sebagainya. Mereka juga macam manusia, saling berkomunikasi,” jelas beliau.
Kelip-kelip hidup kira-kira empat minggu, yang jantan akan mati selepas mengawan, manakala betina pula mati selepas bertelur.
“Kalau tak dapat pasangan, boleh hidup lama sikit,” katanya berseloroh.
Ketika monsun adalah paling sesuai untuk melihat kelip-kelip, waktu puncak untuk melihat adalah antara pukul 7.30 hingga 8.30 malam di mana boleh dikatakan 100 peratus kelip-kelip keluar untuk mengawan.
Pada malam itu, penulis berkongsi bot dengan pensyarah Jabatan Sains Marin, Kuliyyah Sains, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Kuantan, Prof. Madya Dr. Zuhairi Ahmad, beberapa penyelidik dan penuntutnya.
Zuhairi dan kumpulannya sedang menjalankan penyelidikan mengenai hutan paya bakau Sungai Cherating.
“Saya kagum Hafiz mampu ‘berkomunikasi’ dengan kelip-kelip,” katanya sambil menambah bahawa akan berkongsi maklumat mengenai ekologi di situ dengan Hafiz.
Permintaan terhadap aktiviti di Sungai Cherating meningkat terutamanya pada hujung minggu, musim cuti sekolah di Malaysia dan Singapura, manakala dari bulan Mei hingga Ogos pula ramai pelancong Eropah.
Mengakui ada musim-musim permintaan tinggi, perjalanan bot terpaksa dihadkan kerana kata Hafiz: “Ini bukan soal perniagaan semata-mata. Tapi penting untuk melindungi alam sekitar. Kalau terlalu banyak aktiviti bot, berlaku pencemaran bunyi dan asap,” jelas beliau yang kini mempunyai 10 buah bot.
Terdahulu pada petang itu, penulis menyertai aktiviti menelusuri Sungai Cherating. Antara yang kelihatan termasuk biawak, memerang, bangau, helang, burung pekaka dan ular. – Bernama