Wednesday, April 24, 2024
29.7 C
Brunei

    -

    Pesta angkat budaya berpantun

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OKT – Pantun-pantun yang dijual dan dibeli oleh Pasukan UBD B berjaya menambat hati panel hakim dan sekali gus dinobatkan sebagai juara Pesta Pantun Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Negara Brunei Darussalam 2022 yang berlangsung di Pusat Kesenian Pro Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD), hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dato’ Raja Reza bin Raja Zaib Shah.

    Turut hadir ialah Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle; Pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Awang Suip bin Haji Abdul Wahab serta jemputan khas dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).

    Dekan Pelajar UBD, Awang Saidai bin Haji Hitam berkata, pesta pantun itu bertujuan untuk mengangkat budaya berpantun sebagai budaya warisan yang tidak lapuk ditelan zaman serta dapat menguji kemahiran berbahasa dalam menjual dan membeli pantun.

    Ia juga dihasratkan untuk membina keyakinan diri dari segi berfikir dengan cepat, tepat, kritis dan kreatif serta berkembang ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

    TYT Dato’ Raja Reza semasa menyampaikan hadiah kepada juara Pesta Pantun IPT Negara Brunei Darussalam 2022 di Pusat Kesenian Pro Canselor, UBD, kelmarin.
    Turut menyerikan majlis ialah persembahan sketsa Berdudun yang dipersembahkan oleh Kelab RAKIS dan Kelab Pendeta Bahasa, Persatuan Mahasiswa-Mahasiswi UBD.

    Di peringkat akhir pertandingan, Pasukan UBD B bertemu dengan Pasukan UNISSA di mana setelah melalui tiga pusingan, Pasukan UBD B muncul sebagai juara pertandingan dan membawa pulang hadiah berupa piala pusingan, wang tunai sebanyak $800, piala setiap peserta dan sijil.

    Sementara itu, naib johan bagi pertandingan itu, Pasukan UNISSA membawa pulang wang tunai $600, piala setiap peserta dan sijil, tempat ketiga ialah Pasukan UBD A yang memenangi wang tunai $400, piala setiap peserta dan sijil, dan tempat keempat ialah Pasukan KUPU SB yang menerima wang tunai $200, piala setiap peserta dan sijil.

    Manakala itu, Awang Mazfazillah bin Maikal dipilih sebagai pemantun terbaik dan menerima hadiah wang tunai $100 berserta sijil.

    Awang Mazfazillah dalam temu bual bersama Media Permata berkata, bagi mewakili Pasukan UBD B, mereka semua merasa amat gembira kerana muncul sebagai juara dalam pertandingan yang julung kali diadakan itu.

    Menurutnya lagi, mereka yang kesemuanya tidak pernah menyertai sebarang pertandingan pantun sebelum ini, memberikan yang terbaik dan untuk menimba pengalaman daripada penyertaan mereka itu.

    Bagi mereka lagi, kemenangan itu menunjukkan bahawa semua usaha dan persiapan yang dibuat sebagai sebuah pasukan termasuk menyediakan strategi dan perkataan yang boleh digunakan untuk berpantun dengan menumpukan kepada perkataan yang berunsur tradisional, telah membuahkan hasil yang amat berbaloi bagi mereka sehingga terpilih sebagai juara pertandingan.

    Oleh itu, katanya, generasi muda masa kini, perlu mengetahui, mendalami dan sekurang-kurangnya boleh berpantun walaupun tidak secara profesional. Semua itu, tambahnya adalah untuk mengekalkan budaya dan warisan yang kita miliki itu.

    Pertandingan itu dianjurkan bersama oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar UBD, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Negara Brunei Darussalam dan DBP Brunei di mana ia dibukakan kepada empat buah IPT di Negara Brunei Darussalam iaitu UBD, UNISSA, Universiti Teknologi Brunei (UTB) dan KUPU SB.

    Empat pasukan telah beraksi di peringkat saringan iaitu UBD A, UNISSA, UBD B dan KUPU SB dengan Pasukan UBD B serta Pasukan UNISSA berjaya untuk mara ke peringkat akhir.

    Pertandingan itu diadili oleh tiga orang juri iaitu Pemangku Pengarah, Bahagian Kebudayaan dan Kesenian, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dr Haji Mohd Abdoh bin Haji Damit, Dr Haji Hashim bin Haji Hamid dan Awang Irwan Rino bin Nordin.

     

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...