Pesta buah-buahan, 1K1P pamer kepelbagaian produk

Oleh Nurdiyanah R.

Adalah menjadi harapan sebuah negara memiliki rakyat yang rajin berusaha, berinovasi, rela berjarih dan berkarih, hingga mendorong keupayaan masyarakat ke arah kematangan dan sikap berdikari demi menjana perekonomian diri, keluarga dan juga negara.

Oleh yang demikian, semangat juang itulah yang jelas ditonjolkan oleh para usahawan tempatan tidak kira golongan veteran dan juga belia dalam mengetengahkan kesegaran hasil tanaman dan juga keistimewaan produk barangan mereka menerusi Pesta Buah-buahan dan Satu Kampung Satu Produk (1K1P) Daerah Temburong yang berlangsung di Padang Dewan Kemasyarakatan, Pekan Bangar, Daerah Temburong selama tiga hari bermula 29 Februari hingga 2 Mac, baru-baru ini.

“Demi mengembang majukan sosio-ekonomi masyarakat dan meningkatkan penglibatan seluruh masyarakat di Daerah Temburong, di samping menarik ramai pengunjung yang bukan hanya terdiri daripada masyarakat setempat bahkan juga luar daerah serta pelancong-pelancong luar negara untuk sama-sama memeriahkan daerah yang terkenal dengan julukan Permata Hijau ini dari semasa ke semasa, itulah yang menjadi harapan kami semua selaku penduduk setempat di daerah ini,” ucap Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir selaku pengerusi pesta berkenaan semasa ditemui Media Permata, baru-baru ini.

Rezeki Ilahi yang tidak terhingga

Seramai 60 peserta yang terdiri daripada Majlis-majlis Perundingan Mukim dan Kampung, usahawan-usahawan tempatan dan juga orang-orang persendirian telah menyertai pesta berkenaan.

Sehubungan dengan itu, salah seorang usahawan wanita yang berasal dari Kampung Belais, Hajah Jambi binti Dagang turut mengungkapkan perasaan bersyukur di atas peluang yang begitu berharga ini untuk mengetengahkan jualan hasil kebun buah-buahan beliau antaranya rambutan, limau manis dan buah langsat.

Antara buah yang dijual semasa Pesta Buah-buahan dan Satu Kampung Satu Produk (1K1P) Daerah Temburong yang berlangsung di Padang Dewan Kemasyarakatan, Pekan Bangar, Daerah Temburong selama tiga hari, berakhir 2 Mac.
Dayang Siti Mariam mempamerkan antara produk-produk kraf tangan bersumberkan bahan-bahan alam semula jadi yang perlu dimartabatkan oleh generasi-generasi muda kini agar ia tidak pupus ditelan zaman.
Hajah Jambi yang berasal dari Kampung Belais turut melahirkan rasa bersyukur di atas peluang yang begitu berharga mengikuti jualan di pesta berkenaan, lebih-lebih lagi semasa musim buah-buahan sebegini.

“Berkat menanti bertahun-tahun hasil tanaman buah-buahan ini, ia telah membuahkan hasil yang banyak, inilah rezeki Allah SWT yang tidak terhingga.

Dengan adanya hasil tanaman ini, ia bagaikan pencetus sumber pendapatan persendirian saya sejak lebih 10 tahun lalu, lebih-lebih lagi pada musim buah-buahan sebegini,” tambahnya yang kini berusia 73 tahun dengan nada kesyukuran.

Berbagi rezeki dengan tawaran harga rendah

Manakala semasa ditemui usahawan sepasang suami isteri, Awang Abdul Nustazaein bin Mohd Alli dan Dayang Nurul Atikah binti Jamil apabila berkongsi pengalaman manis dalam membantu menjual hasil buah-buahan yang kepunyaan nenek dan datuk beliau.

Mereka yang menetap di Kampung Rataie turut menjelaskan bahawa dengan adanya pesta sebegini, ia bukan hanya untuk memperoleh sumber pendapatan semata-mata bahkan ia juga dapat berbagi rezeki bersama para pengunjung dengan menawarkan harga buah-buahan durian kuning dan juga putih dengan harga yang rendah iaitu dalam anggaran di bawah $3 sebiji mengikut saiz-saiz tertentu.

Makan buah durian sambil beramal

‘Makan Buah Durian Sepuas-puasnya’ itulah juga salah satu tarikan istimewa yang diketengahkan semasa berlangsungnya pesta berkenaan. Keunikan jualan tersebut dimeriahkan lagi dengan adanya hasil pembelian durian daripada orang ramai itu diserahkan kepada tabung anak-anak yatim daerah berkenaan.

Menurut salah seorang penggemar buah durian, Haji Moslim bin Haji Salleh bersama ahli keluarga beliau mengungkapkan perasaan kegembiraan kerana pelbagai jenis durian ditawarkan oleh pihak penganjur.

Beliau yang berusia 68 tahun ini turut menjelaskan bahawa dengan acara sebegini, ia sememangnya dapat membantu para usahawan tempatan bahkan juga secara tidak langsung dapat mengeratkan ikatan silaturahim semasa para pengunjung lain terutamanya dari kampung-kampung lain.

Variasi produk kraf tangan anyaman

Di samping itu, pelbagai barangan yang menarik serta penuh kreativiti juga ditonjolkan oleh para usahawan setempat yang pastinya memiliki keunikan dan keistimewaan yang tersendiri.

Salah seorang pengusaha anyaman kraf tangan rotan dari Majlis Perundingan Kampung Lepong Baru, Mukim Bokok, daerah berkenaan, Dayang Siti Mariam binti Abdullah turut menjelaskan bahawa kesemua produk barangan kraf tangan anyaman ini bersumberkan daripada sumber alam semula jadi seperti buluh, rotan dan daun bamban.

“Setelah memperoleh bahan-bahan asas dan menjalankan proses-proses tertentu seperti sesi menghalusi dan pengeringan, kemudian baharulah boleh dihasilkan rekaan barangan anyaman yang menarik dengan pelbagai bentuk dan saiz seperti, rotan rekaan tumbuhan sumboi-sumboi, nyiru, bakul, siraung, tikar, beg, dan sebagainya.”

“Kebiasaannya bahan-bahan asas tersebut didapati di kawasan hutan belukar di persekitaran kampung beliau dan juga berdekatan dengan tebing-tebing sungai. Inilah antara produk-produk kraf tangan bersumberkan bahan-bahan alam semula jadi yang perlu dimartabatkan oleh generasi-generasi muda kini agar ia tidak pupus ditelan zaman,” tambahnya lagi yang juga berasa bersyukur diberi bantuan khas untuk anak perempuan beliau yang memiliki semangat juang yang tinggi dalam memartabatkan warisan kemahiran yang begitu berharga itu semasa mengakhiri sesi temu bual bersama penulis, baru-baru ini.