Pesta Buah ketengahkan hasil keluaran tempatan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OGOS – Jabatan Daerah Brunei dan Muara dengan kerjasama Majlis Perundingan Kampung Kapok dan Koperasi Ladang Komunal Tempayan Pisang mengadakan Pesta Buah di Pasarneka, Pekan Muara hari ini.

Pesta dihasratkan dapat mengetengahkan buah-buahan dan sayur-sayuran yang dihasilkan oleh penduduk Kampung Kapok itu dirasmikan oleh Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim.

Pengerusi Koperasi Ladang Komunal Tempayan Pisang, Haji Mohammad bin Haji Mohd Yassin dalam kata alu-aluannya menyatakan penghargaan kepada Awang Misle dan pihak berkenaan serta penduduk kerana menjayakan acara tersebut.

Menurutnya, Pesta Buah juga diserikan dengan pelbagai aktiviti termasuk senaman memanaskan badan, pertandingan melukis dan gubahan bunga. Walaupun musim buah hampir di penghujungnya, pihaknya amat bangga kerana mendapat kerjasama daripada semua pihak untuk menganjurkan pesta itu.

Beliau juga menjelaskan Koperasi Lembah Bukit Tempayan Pisang merupakan koperasi yang bermula pada 1993 dan setelah bertanam selama kira-kira 10 tahun, ladang itu mula untuk menghasilkan buah.

Pesta Buah hari ini adalah hasil dari ladang-ladang berkeluasan 35 ekar dan melibatkan 35 individu yang menguruskan dan menjaga ladang itu. Pesta itu diharap dapat menyumbang kepada sosioekonomi para peladang di Kampung Kapok, ujarnya.

Awang Misle menyaksikan gerai jualan semasa Pesta Buah yang diadakan di Pasarneka Pekan Muara kelmarin. – Gambar oleh James Kon