Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Feb – Pesta Buku Brunei 2019 kini melakar usianya yang ke-20 tahun setelah pesta berkenaan dimulakan pada 1996.
“Sehingga hari ini, Pesta Buku kekal menjadi platform yang amat mustahak dalam kalendar kegiatan di Negara Brunei Darussalam, terutamanya dalam usaha berterusan kita untuk memperkukuhkan lagi budaya membaca di kalangan masyarakat.”
Perkara tersebut dijelaskan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin semasa melancarkan Pesta Buku Brunei 2019 di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, hari ini.
Turut dirasmikan ialah penyertaan Kesultanan Oman, pelancaran buku terbaharu dan buku coffee table pameran jejak seni bina Islam Bandar Seri Begawan, hari ini.
Hadir bagi menyaksikan majlis pelancaran itu, Undersecretary of the Ministry of Information, Kesultanan Oman, Tuan Yang Terutama Ali Khalfan Al-Jabri; Duta Besar Kesultanan Oman ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Sheikh Ahmed bin Hashil bin Rashid Al-Maskari dan Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Datin Paduka Dr Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil.



Yang Berhormat Dato seterusnya menjelaskan, pada Pesta Buku kali ini, sebanyak 32 naskhah buku dilancarkan iaitu jumlah tertinggi setakat berbanding ini 29 buah buku yang dilancarkan tahun lalu.
Dalam meneruskan usaha murni ini dan dengan melihat kepada keadaan semasa, ia adalah sangat bertepatan dengan tema Pesta Buku Brunei kali ini iaitu ‘Lestari Buku Era Digital,’ yang membawa maksud buku cetak kekal mendapat perhatian pada era digital ini.
Beliau seterusnya menjelaskan, hampir kesemua informasi boleh diakses secara online termasuk electronic book (e-book).
“Kita akan terus memastikan Pesta Buku tetap relevan dengan mengambil langkah baharu dalam memperkasa apa jua format buku, cetak ataupun elektronik, demi memberikan nilai tambah dalam pendedahan pengetahuan yang bermanfaat kepada masyarakat,” jelasnya.
Di samping itu, keadaan ketika ini turut memerlukan proses penjenamaan semula terutama melalui perpustakaan-perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di seluruh negara.
Untuk 2019 secara khususnya, DBP menyasarkan minat para pengunjung termasuk golongan belia dan masyarakat setempat.
“Strategi penjenamaan semula ini adalah untuk memastikan fungsi perpustakaan sentiasa relevan dan tetap digunakan sebagai platform untuk memperkukuhkan budaya membaca di kalangan masyarakat am,” tegasnya.
Adalah mustahak untuk melihat serta peka kepada keadaan semasa seterusnya mengambil pendekatan baharu secara bermakna seperti mengubahsuai persekitaran perpustakaan, memperkenalkan konsep library cafe serta menjadikannya sebagai pusat untuk mengembangkan seni kreatif.
Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan turut menyambut baik usaha yang telah dilaksanakan oleh DBP tahun ini termasuklah aktiviti yang dilaksanakan ke arah menarik minat pengunjung ke perpustakaan daripada segenap masyarakat dan umur.
Beliau turut berbangga dan merakamkan terima kasih atas penglibatan pelbagai agensi termasuk keusahawanan belia khususnya dalam menerajui penggunaan teknologi terkini.
Sementara itu, TYT Sheikh Ahmed menjelaskan, kerjasama kesultanan Oman dan Brunei dalam kebudayaan semakin kukuh dan berterima kasih atas perhatian yang diberikan oleh kedua-dua buah kerajaan.
“Pada Pesta Buku ini juga, Kesultanan Oman turut mempamerkan pelbagai penerbitan buku berkaitan kebudayaan, sejarah dan literasi warisan Oman yang dicapai dalam pelbagai bidang,” jelasnya.
Pada majlis tersebut, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bersama tetamu khas yang lain turut berkesempatan mengadakan lawatan ke petak-petak jualan yang disediakan.
Terdahulu itu, tetamu kehormat turut menyampaikan buku terbaharu kepada para penulis di pesta berkenaan dan pesta buku turut dimeriahkan dengan persembahan Oud dari Kesultanan Oman.