Monday, February 10, 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pesta Kaamatan boleh dipromosi ke luar negara

    PENAMPANG, 31 Mei – Pesta Kaamatan atau menuai boleh dipromosikan sebagai produk kebudayaan di luar negara, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini.

    Katanya, nilai kebudayaan pesta itu mampu menyatukan masyarakat bukan sahaja dalam kalangan Kadazandusun dan Murut, tetapi juga masyarakat kaum lain.

    “Perayaan ini boleh dijadikan satu landasan yang memungkinkan penyatuan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

    “Pesta Kaamatan bukan sahaja dirayakan di Sabah, malah di negeri lain seperti Johor, Pulau Pinang dan juga Lembah Klang. Tidak mustahil perayaan ini boleh diadakan di luar negara,” katanya ketika merasmikan sambutan pesta itu di sini.

    Mohd Shafie juga berkata hasil sambutan Pesta Kaamatan seperti produk makanan juga boleh dipromosikan ke luar negara.

    SEMANGAT PADI… Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (tiga, kanan) menuai padi bersama Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Madius Tangau (tengah) sebagai simbolik perasmian Pesta Kaamatan peringkat negeri Sabah di Pusat Kebudayaan Kadazan Dusun Penampang (KDCA) hari ini. – Bernama

    Beliau berkata kerajaan baharu pimpinan Parti Warisan Sabah bersama Pakatan Harapan dan UPKO akan sentiasa menghormati kebudayaan dan perayaan semua kaum di negeri ini.

    Katanya, kebudayaan pelbagai kaum, khususnya di Sabah perlu dipelihara dan boleh dimanfaatkan serta diwarisi generasi akan datang.

    Mohd Shafie turut melahirkan penghargaan kepada Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Murut Tan Sri Jospeh Pairin Kitingan, yang juga Presiden Parti Bersatu Sabah dan bekas timbalan ketua menteri, serta pasukannya kerana berjaya menganjurkan Pesta Kaamatan setiap tahun.

    “Kita harus ketepikan perbezaan politik antara kita untuk sama-sama membangunkan masa depan Sabah.

    “Tiba masanya kita bangunkan negeri kita setanding negara lain. Perbezaan antara kita bukan penghalang untuk kita memperjuangkan masa depan Sabah,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda