Tuesday, April 23, 2024
28.9 C
Brunei

    -

    Pesta Kerjaya tawar 2,500 peluang pekerjaan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 NOV – Lebih 2,500 peluang pekerjaan ditawarkan kepada pencari kerja tempatan pada Pesta Kerjaya yang akan diadakan pada 23 hingga 27 November ini di Dewan 1 dan 2, Dewan Pusat Persidangan Antarabangsa BRIDEX, Jerudong.

    Pesta anjuran Sekretariat Tetap Majlis Perancangan dan Pengambilan Tenaga Kerja (MPEC), Jabatan Perdana Menteri itu dijangka akan disertai oleh lebih 100 buah syarikat sektor swasta dari pelbagai industri.

    Orang ramai dialu-alukan untuk mengunjungi pesta tersebut yang dibukakan dari jam 9 pagi hingga 5 petang kecuali pada hari Jumaat, ianya akan dibuka pada jam 2:30 hingga 5 petang.

    Pesta kerjaya yang menawarkan pekerjaan dalam industri IT, minyak dan gas, pembinaan, peruncitan, makanan dan minuman (F&B) dan lainnya itu juga mengalu-alukan orang kelainan upaya (OKU) sebagai salah satu inisiatif yang inklusif di tempat kerja.

    Selain syarikat sektor swasta, pesta ini turut disertai oleh lebih 30 agensi kerajaan termasuk institusi-institusi pendidikan seperti Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat, Pusat Pembangunan Belia dan yang lainnya.

    Di samping itu, terdapat banyak aktiviti menarik untuk disertai antaranya pameran, temu duga terbuka, klinik bagi tip penulisan CV dan temu duga, taklimat dan demonstrasi secara langsung dan juga permainan menarik.

    Sehubungan itu, semua pencari kerja dinasihatkan untuk membawa salinan CV terkini dan dokumen-dokumen yang berkaitan kerana terdapat peluang untuk menghadiri temu duga terbuka yang dikendalikan oleh syarikat-syarikat.

    Maklumat lanjut mengenai Pesta Kerjaya dan makluman berkaitan akan disiarkan melalui akaun Instagram di @mpec_secretariat dan @jobcentrebrunei atau hubungi Sekretariat Pesta Kerjaya di talian 8239933.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...