Friday, April 19, 2024
23.7 C
Brunei

    -

    Pesta Konvo UTB ke-7 dirasmi

    Oleh Ak Zaki Kasharan
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OGOS – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Pro-Canselor Universiti Teknologi Brunei (UTB), pagi tadi berkenan berangkat merasmikan Pesta Konvo UTB ke-7 ta-hun 2022 yang berlangsung di Lobi, Bangunan Pentadbiran, UTB.

    Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Menteri Pendidikan dan Pengerusi Majlis UTB, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh dan Naib Canselor UTB, Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman.

    Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis UTB, pegawai-pegawai kanan kerajaan, staf dan para pelajar UTB.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang diketuai oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.

    Duli Yang Teramat Mulia kemudiannya berkenan mengurniakan sabda perasmian yang disusuli dengan laungan takbir dan tayangan multimedia.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah ketika berkenan menerima pesambah daripada para pelajar UTB berupa karya miniatur Jambatan RIPAHS.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan dijunjung berangkat bagi menyaksikan pameran.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah berkenan dijunjung beramah mesra bersama warga UTB.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan dijunjung bergambar ramai.
    Pelajar UTB mempersembahkan silat pada pameran itu.

    Duli Yang Teramat Mulia seterusnya berkenan menyaksikan pameran Pesta Konvo ke-7 yang bertemakan ‘Sains, Teknologi dan Inovasi’ dengan mengetengahkan inisiatif, projek dan aktiviti para mahasiswa dan mahasiswi, bakal graduan dan UTB secara keseluruhan yang berpotensi memberi impak positif kepada masyarakat. 

    Ini adalah selaras dengan visi UTB iaitu Universiti Global yang Memberi Impak kepada Masyarakat. Pameran tersebut diadakan di Teratak Putih, fasa dua, UTB.

    Pameran berkenaan mengetengahkan tiga kluster utama iaitu Kluster Sains yang menunjukkan keupayaan para pelajar UTB mendalami pembelajaran dan meneroka penyelidikan dengan lebih mendalam. 

    Kluster Teknologi pula mempamerkan projek-projek yang menunjukkan keupayaan para pelajar UTB dalam aplikasi praktikal mereka bentuk dan penggunaan produk bagi tujuan kegunaan industri dan komersial.

    Manakala itu, Kluster Inovasi menunjukkan keupayaan para pelajar UTB dalam melaksanakan idea secara praktikal bagi penghasilan atau penambahbaikan produk dan perkhidmatan. 

    Sementara itu, di luar bangunan Pearl, Duli Yang Teramat Mulia berkenan menyaksikan persembahan pelajar-pelajar daripada kelab silat, tausyeh, muzik tradisional dan persembahan budaya Jepun.

    Ketika berada di bangunan Pearl, Duli Yang Teramat Mulia berkenan menerima pesambah daripada para pelajar UTB berupa karya miniatur Jambatan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (RIPAHS) dan seterusnya berkenan bergambar ramai bersama ahli-ahli Majlis Perwakilan Pelajar UTB 2022/2023.

    Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Duli Yang Teramat Mulia berkenan bergambar ramai bersama wakil-wakil pelajar dan dijunjung untuk menikmati santap di UTB Gallery yang terletak dalam bangunan Pearl, UTB.

    Beberapa acara telah disusun bersempena dengan Pesta Konvo UTB 2022 termasuk Majlis Khatam Al-Quran, Bengkel Kepimpinan UTB, Malam ‘K-Movie’, Program Salam: Edisi Ogos, Karnival UTB, UThriftB, Karnival Maka-nan, Pertandingan Perbahasan UTB dan Kem Kepimpinan Universiti.

    Pesta Konvo diadakan setiap tahun bagi meraikan para pelajar yang berjaya menamatkan pengajian dan bakal menerima ijazah masing-masing pada Majlis Konvokesyen UTB yang akan berlangsung pada 5 September depan di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gempa bumi 6.3 magnitud di Jepun cederakan 8 orang

    TOKYO, 18 APRIL – Lapan orang dilaporkan cedera hari ini selepas gempa bumi berukuran 6.3 magnitud melanda barat daya Jepun, tetapi tiada kerosakan besar...