INDIA – Sebuah layang-layang memaparkan akan kenyataan untuk tuntutan belas kasihan terhadap Pakistan dalam usaha mereka untuk membebaskan Kulbhushan Jadhav dari India manakala kelihatan juga sebuah layang-layang dalam bentuk botol air serta beberapa lagi bentuk layang-layang memenuhi ruang udara Ahmedabab baru-baru ini.
Pesta layang-layang ini merupakan sebahagian daripada Festival Layang-Layang Antarabangsa yang berlangsung selama tujuh hari di Ahmedabad dan telah dirasmikan oleh Ketua Menteri, Vijay Rupani di hadapan Gabenor, OP Kohli serta beberapa pembesar-pembesar antarabangsa yang lain.
Apa yang menarik, Rupani juga menerbangkan beberapa layang-layangnya sendiri dan berkesempatan untuk menandatangani layang-layang khas untuk Jadhav.
Dianggarkan lebih daripada 150 layang-layang dari 44 buah negara mengikuti festival layang-layang itu dan sekitar 100 daripada penyertaan itu adalah daripada penduduk tempatan dari 19 buah wilayah di seluruh negara.
Festival yang diadakan itu memaparkan satu perayaan layang-layang yang inovatif, kreatif dan menarik. Festival ini diadakan di kawasan tanah lapang di tepi Sungai Sabarmati di bandar Ahmedabad. Festival layang-layang ini telah berakhir pada 14 Januari yang lalu.

Walaupun berlangsung dengan begitu meriah namun festival ini menerima satu kritikan yang hebat khususnya daripada pihak kerajaan negeri di mana mereka menekankan bahawa festival ini diadakan tanpa ada campuran cukai barangan dan perkhidmatan lantas ia telah menyaksikan satu pertumbuhan kira-kira tujuh peratus dengan adanya pesta ini di mana para pegawai kerjaaan bersetuju bahawa kadar pertumbuhan telah menyaksikan satu peningkatan yang lebih baik tanpa ada campuran cukai barangan dan perkhidmatan.
Salah seorang peserta, Mahesh Chavda dari Rajkt, seorang tukang jahit berkata, “Saya sangat minat dengan layang-layang sejak saya masih kecil lagi dan kawan-kawan saya telah mengasaskan kelab layang-layang.
“Kami mencipta beberapa jenis layang-layang malah kami tidak pernah mengira apa-apa tema yang sesuai untuk layang-layang ini sehingga beberapa dekad yang lalu.
“Pada satu hari, kawan saya mendorong saya untuk mengikuti festival ini dan ketika itulah, saya mencuba untuk menghasilkan satu layang-layang yang besar sekali.
“Saya merasa bakat saya sebagai seorang tukang jahit sedikit sebanyak membantu saya untuk mencipta satu layang-layang yang kreatif dan menakjubkan,” tambah Mahesh kepada wartawan media.
Di sebalik sebuah layang-layang
“Layang-layang paling besar kumpulan saya hasilkan setakat ini ialah sekitar 200 kaki apabila ia diterbangkan dan saya panggil layang-layang ini sebagai cinta dan saya sekurang-kurangnya memerlukan sekitar 20 orang atau lebih dan memakan masa selama dua bulan untuk menyiapkan layang-layang ini serta memakan belanja sekitar 2 rupee India,” tambah Mahesh lagi kepada media.
Manakala, bagi Pasukan Wanita Luar Biasa dari Calicut di Kerala, menerbangkan layang-layang adalah satu cara mereka untuk menghancurkan halangan.

“Kami telah berjaya menubuhkan kelab layang-layang khususnya kaum wanita kerana kami semua bersemangat untuk menerbangkan layang-layang. Malah dengan cara ini, kami akan dapat mematahkan halangan seperti yang banyak berlaku ketika ini khususnya di India.
Menerbangkan layang-layang ini seperti memaparkan hak-hak wanita yang baik dan tidak terhalang,” kata Zeenat Yunus, kapten pasukan ketika dia mengendalikan layang-layang besar dengan bantuan rakannya, Rahel.
Festival yang ditaja sepenuhnya oleh pihak kerajaan negeri itu telah berakhir pada 14 Januari yang lalu dan dikenali sebagai Uttarayan (Makar Sankranti) di mana sekitar 44 buah negara antarabangsa telah mengikutinya seperti United Kingdom, Korea Selatan, New Zealand, China, Indonesia dan juga Malaysia.
Delegasi-delegasi antarabangsa ini telah sampai lebih awal untuk mengambil bahagian dalam acara festival itu.
“Salah satu layang-layang yang berjaya menarik perhatian orang ramai ialah layang-layang dari China yang bercorak seperti seekor naga dan festival ini telah berjaya menarik kedatangan para penduduk tempatan dari pelbagai wilayah untuk menyaksikan sendiri festival layang-layang ini,” kata Zeenat lagi kepada media.
“Festival ini juga bertujuan untuk menarik lagi ramai pengunjung khususnya penduduk tempatan dari bandar-bandar berbeza di negeri ini,” kata Rupani kepada media selepas sahaja perasmian festival itu.
Dia turut berkata bahawa perayaan itu akan memberikan satu rangsangan kepada industri layang-layang yang akan menggunakan sekitar perbelanjaan yang besar untuk menjayakan festival itu, bagaimanapun, pihak kongres negara itu telah mengkritik pihak kerajaan yang mana mereka telah membelanjakan wang yang besar dalam menganjurkan festival layang-layang itu.
Parti pembangkang berkata bahawa pihak kerajaan sebaliknya memberi bantuan kepada ribuan keluarga dalam pengeluaran industri layang-layang yang mana pihak kerajaan telah mengeluarkan sekitar lima peratus cukai barangan dan perkhidmatan yang dikenakan ke atas sektor itu. – AP