Pesta Makanan Amal Antarabangsa meriah

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 DIS – Kelab Wanita Antarabangsa Brunei Darussalam (IWCB) mengambil usaha menghulurkan bantuan dengan mengadakan Pesta Makanan Amal Antarabangsa untuk Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan) yang berlangsung di Aman Lounge, Peak Performance Sdn Bhd, hari ini.

Pesta berkenaan diadakan bersempena Festival Disember Brunei 2019 yang mana kelab berkenaan mengambil langkah dengan mengetengahkan makanan dan cita rasa dari pelbagai negara di seluruh dunia untuk diperkenalkan kepada pengunjung.

Pelancaran pesta tersebut telah disempurnakan oleh isteri Pesuruhjaya Tinggi British ke Brunei Darussalam, Xanthe Lindsay; Pemegang Amanah Eksekutif Pusat Ehsan, Pengiran Datin Hajah Noraini binti Pengiran Dipa Negara Laila Diraja Pengiran Haji Abdul Momin dan Presiden IWCB, Ungku Datin Hajah Fanzah Haji Osman.

Turut melancarkan pesta ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Thailand ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Wanthanee Viputwongsakul, Timbalan Kedua Misi Kedutaan Iran di Brunei Darussalam, Afsaneh Ebrahimi dan isteri Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei, Rosita Ismail.

Pesta anjuran IWBC itu dihasratkan dapat membantu meningkatkan perkembangan aktiviti amal dan kebudayaan seterusnya mengeratkan hubungan dalam kalangan peserta pesta sama ada tempatan dan komuniti seterusnya memberi peluang kepada peserta pesta untuk mempamerkan pelbagai makanan dari negara masing-masing. Ia dianjurkan dengan kerjasama Project BIG BWN yang memberi peluang kepada pengusaha makanan belia tempatan untuk mengetengahkan dan menjual pelbagai jenis makanan seterusnya beramal sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat kepada masyarakat.

Pengiran Datin Hajah Noraini ketika mengunjungi salah sebuah petak makanan semasa pesta berkenaan.