Pesta Makanan Singapura kembali

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 DIS – Pesta Makanan Singapura anjuran Royal Brunei Catering (RBC) dengan kerjasama Lembaga Pelancongan Singapura dan Suruhanjaya Tinggi Singapura di Negara Brunei Darussalam kembali lagi di Restoran Makanan Laut Horizons, bermula hari ini hingga lewat bulan ini.

Dianjurkan sebagai sebahagian daripada Festival Disember Brunei 2019, pesta berkenaan telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin selaku tetamu kehormat majlis bersama Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Lim Hong Huai pada majlis perasmian yang berlangsung di restoran berkenaan, malam hari ini.

TYT Lim Hong Huai dalam ucapan alu-aluannya berkata, Suruhanjaya Tinggi Singapura gembira untuk bekerjasama dengan Restoran Horizons untuk membawa keunikan makanan Singapura ke negara ini dan berharap pesta tersebut dapat menyumbang kepada kejayaan Pesta Disember Brunei 2019.

Pada pesta tahun ini, Restoran Horizons bekerjasama dengan Rumah Makan Minang yang merupakan sebuah restoran halal di Singapura yang tertua.

Ditubuhkan pada 1954, restoran berkenaan berkepakaran dalam menyajikan masakan Minangkabau.

Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf dan TYT Lim Hong Huai bersama-sama merasmikan Pesta Makanan Singapura 2019.
Antara hidangan menyelerakan yang disajikan semasa Pesta Makanan Singapura 2019.

Antara hidangan terkenal Singapura yang akan disajikan termasuk Ikan Bakar Minangkabau, Ayam Gulai Padang, Udang Balado Petai, Ikan Balado Hijau, Tauhu Telur Indonesia, Sayur Acar Padang dan banyak lagi.

Bufet makan malam tersebut diadakan setiap hari, sementara itu menu set makan tengah hari turut ditawarkan pada Isnin hingga Sabtu.

Manakala itu, para pemegang Kad RBC Dining Privilege boleh menikmati diskaun 10 peratus semasa tempoh promosi, manakala potongan harga sehingga 15 peratus juga akan diberikan kepada pemegang kad Bank Baiduri.

Para pelanggan juga secara langsung akan berpeluang menyertai cabutan bertuah dan bagi pemegang kad Baiduri akan dapat menggandakan peluang mereka untuk memenangi cabutan bertuah tersebut.

Bank Baiduri menjadi penaja utama pada kali ini dan pelbagai hadiah menarik ditawarkan bagi cabutan bertuah berkenaan seperti telefon pintar iPhone 11 Pro, Samsung Galaxy Note 10, sepasang tiket pergi dan balik ke Singapura dan 6,000 Royal Skies Miles.