JELEBU, 15 Jan – Teruja dan mengasyikkan. Itu kata-kata Mohd Ziaolhaq, 30, dari Afghanistan yang pertama kali menyertai aktiviti tradisional masyarakat Melayu di Kampung Gagu, di sini.
Baginya, aktiviti tradisi seperti acara menuai dan mengemping padi serta ‘mengoca’ (menangkap ikan menggunakan jala) sangat unik dan sudah pastinya ia merupakan pengalaman baharu bagi dirinya.
“Ya, saya sangat teruja dan seronok…ini adalah pengalaman pertama saya melakukan aktiviti ini. Saya banyak belajar mengenai tradisi Melayu khususnya mengoca…ia pengalaman yang sangat berharga.
“Saya harap dapat membawa aktiviti seperti ini ke negara saya. Saya pasti rakyat Afghanistan akan sukakannya,” katanya kepada Bernama di sini.
Beliau yang merupakan mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) di Gombak, Selangor berkata apa yang menggembirakannya ialah apabila dapat mengunakan jala dengan cara yang betul serta berjaya menangkap ikan.

Kira-kira 400 orang termasuk warga kota dari Kuala Lumpur menghadiri Pesta Menuai dan Mengoca Ikan 2017 di Kampung Gagu di sini, semalam yang dirasmikan Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Tan Sri Dr Rais Yatim.
Bagi Sie Tee Gee, 50, beliau seronok dengan aktiviti itu yang pertama kali disertainya dan berpandangan aktiviti tradisional seperti itu harus dipertahan dan diperkembangkan lagi supaya tidak terhapus. – Bernama