Pesta menuai padi erat tiga persatuan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MAC – Kegiatan menuai padi bagaikan tradisi yang tidak dapat dilupakan kerana ia membawa kegembiraan, kemesraan terhadap satu sama yang lain serta yang paling mustahak dapat mengeratkan lagi silaturahim sesama mereka.

Sehubungan dengan itu, Persatuan Wanita Kampung Junjongan (PEWAJA) bersama PERTIWI dan Majlis Wanita Negara Brunei Darussalam (Majlis Wanita) telah menganjurkan Pesta Menuai Padi yang berlangsung di ladang kepunyaan salah seorang ahli PEWAJA, Hajah Raudah binti Haji Metahir di Kampung Wasan, hari ini.

Hadir menyertai kegiatan menuai padi itu ialah Naib Yang Dipertua Majlis Wanita, Pengiran Datin Paduka Hajah Mariam binti Pengiran Haji Matarsat; Naib Yang Dipertua Persatuan PERTIWI, Datin Hajah Fatimah binti Dato Seri Setia Abang Haji Razali; ahli Lembaga Tadbir Tertinggi Majlis Wanita, Persatuan PERTIWI serta ahli daripada setiap persatuan di bawah Majlis Wanita.

Pengerusi Pesta Menuai Padi, Dayang Haslienahwati binti Yusof dalam kata alu-aluannya pada majlis itu menyatakan bahawa acara itu bukanlah kali pertama diadakan oleh PEWAJA, pada 2008 merupakan permulaan bagi acara tersebut dan kali kedua ia diadakan pada 2011.

Oleh itu, penganjuran tahun ini merupakan kali ketiga acara itu diadakan, di mana selain daripada mengeratkan silaturahim, ia juga boleh menyihatkan tubuh badan.

“Kalau ada yang pernah mengikuti Pesta Menuai Padi sebelum ini, pasti akan terkenang semula kenangan lalu.

“Bagi belia-belia, mungkin ini adalah satu peluang untuk melihat bagaimana pengolahan padi menjadi beras dan melihat bagaimana orang dulu-dulu bekerja keras untuk menjana kewangan mereka dengan padi yang mereka ada,” ujarnya.

Pesta menuai padi kali ini, dimeriahkan lagi dengan jualan buah-buahan, minuman, makanan dan barang-barang daripada hasil tangan ahli PEWAJA sendiri. Sementara itu, para jemputan yang hadir berpeluang untuk menuai padi dan membawa balik hasil tuaian mereka.

Para jemputan yang menyertai Pesta Menuai Padi bergambar ramai sebelum acara menuai dijalankan.
Para jemputan sama-sama menuai padi semasa Pesta Menuai Padi di Kampung Wasan.