Monday, March 17, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pesta Mukun Hari Keputeraan meriah

    Oleh Hajah Saemah Kepli

     

    KUALA BELAIT, 6 Ogos – Orang ramai terutama penggemar Mukun berduyun-duyun ke Karnival Bukit Sawat untuk menyaksikan Pesta Mukun Perayaan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-72 bagi Daerah Belait yang berlangsung di Taman Rekreasi Sungai Mau, Bukit Sawat Labi di sini, malam tadi.

    Pesta Mukun yang dikendalikan bersama oleh Majlis Perundingan Mukim (MPM) Bukit Sawat dan MPM Labi dengan kerjasama Jabatan Daerah Belait dan Kumpulan Mukun Selendang Sutera Brunei telah menambah meriahkan lagi suasana karnival tersebut yang diadakan selama empat hari bermula Khamis lalu, dengan mengetengahkan berbagai aktiviti keagamaan, hiburan, jualan dan sebagainya.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyaksikan persembahan bermukun berkenaan ialah Yang Dimuliakan Pehin Datu Padukaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Shari bin Ahmad dan isteri.

    Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin dan Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd Siput, penghulu mukim dan ketua-ketua kampung serta ahli-ahli jawatankuasa perayaan dan ahli-ahli MPM dan Majlis Perundingan Kampung Bukit Sawat.

    Setiausaha Bersama Pesta Mukun, Awang Irwan Rino bin Nordin semasa ditemui memberitahu, persembahan tersebut diadakan di kawasan pedalaman untuk memberi ruang dan peluang kepada penduduk khususnya di Bukit Sawat Labi dan beberapa buah kampung di dalamnya untuk menyaksikannya selain untuk sama-sama merasakan kegembiraan bersempena perayaan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan tahun ini.

    Tetamu kehormat ketika menyaksikan Pesta Mukun, kelmarin.
    Pemukun cilik Awang Abdul Qayyum, Awang Abdul Quddus dan Awang Abdul Qawi mendapat gelaran manja daripada ayahnya sebagai Tiga Abdul.
    Barisan pemain muzik pengiring daripada Kumpulan Selendang Sutera Brunei.
    Persembahan dua pemukun lelaki dari Negara Brunei Darussalam dan Mukah, Sarawak.

    Di samping itu, katanya, memandangkan penduduk pedalaman jarang berpeluang menyaksikan persembahan mukun yang diadakan di kawasan bandar, persembahan bermukun tahun ini turut mengundang beberapa orang pemukun dalam dan luar negara seperti dari Miri, Mukah dan Bintulu, Sarawak.

    Selain itu, tidak ketinggalan turut mengetengahkan pemukun muda dan cilik yang tidak kurang mempunyai ramai peminat.

    “Pemukun cilik itu juga pernah mengharumkan nama negara melalui pertandingan mukun di negara jiran dan mewakili daerah dan tidak kurang nama mereka menjadi sebutan ramai penduduk kampung, maka pada malam ini diberikan peluang mereka menyaksikan secara dekat persembahan-persembahan mereka,” katanya.

    Antara artis Mukun yang menggegarkan pentas persembahan malam tadi termasuklah pemukun tempatan yang sudah tidak asing lagi iaitu Awang Irwan Rino yang juga menjadi pengacara persembahan tersebut yang turut disiarkan secara langsung melalui siaran Radio Harmoni FM selama satu jam.

    Di samping itu, persembahan turut menampilkan seorang pemukun wanita terkenal, Hajah Siti Badariah yang sudah mengelilingi Pulau Borneo untuk menyertai pertandingan, persembahan majlis-majlis perkahwinan dan sebagainya, yang berganding dengan pemukun dari Mukah, Miri dan Bintulu.

    Tiga pemukun muda dan cilik, Tiga Abdul iaitu Awang Abdul Qayyum, Awang Abdul Quddus dan Awang Abdul Qawi turut mendapat sorakan gemuruh daripada penonton kerana kebijakan mereka membalas pantun-pantun secara spontan walaupun dalam usia yang masih kecil diiringi bersama pemukun muda Awang Mohd Shahmi Idris.

    Turut diadakan semalam ialah kuiz bersama penonton yang diserikan dengan persembahan lawak jenaka oleh pelawak tempatan yang sudah tidak asing lagi, Hajah Kasumawati atau lebih dikenali sebagai Dang Kasum.

    Orang ramai yang menjawab kuiz dengan tepat turut berpeluang membawa pulang hadiah yang telah disediakan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda