Pesta pendidikan findlay tampil 20 universiti

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JAN – Agensi Perkhidmatan Pendidikan Findlay Brunei, hari ini, telah mengadakan Pesta Pendidikan Antarabangsa ke-11 di Songket Ballroom, Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong yang dihadiri oleh ramai pelajar.

Acara terbesar Findlay itu disertai 20 buah universiti ternama dari Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, Kanada, Malaysia dan Singapura.

Universiti-universiti yang terlibat menawarkan beberapa program pengajian yang selaras dengan moto Findlay iaitu ‘Penyelesaian Pendidikan, Pekerjaan, dan Kecemerlangan’.

Semasa pesta itu, wakil universiti-universiti berkenaan menerangkan mengenai pengajian dan pembelajaran terbaik untuk para pelajar di Negara Brunei Darussalam yang berminat.

Para pelajar juga berpeluang bertemu dengan para profesional terkemuka dari sektor swasta dan berbincang tentang kerjaya dalam bidang masing-masing.

Antara pelajar yang menghadiri Pesta Pendidikan Antarabangsa Findlay di Hotel Antarabangsa Rizqun, kelmarin.
Para pelajar mendengarkan penjelasan mengenai biasiswa daripada pegawai Kementerian Pendidikan semasa pesta pendidikan tersebut.

Pengurus, Konsultan dan Latihan Findlay Brunei, William Martin berkata, para pelajar perlu memanfaatkan peluang berkenaan untuk menentukan pilihan mereka berdasarkan kelulusan mereka, serta menyediakan pilihan lain sekiranya keputusan mereka berbeza daripada apa yang diharapkan.

Pelajar yang tidak mendapat kelulusan yang memenuhi syarat juga masih berpeluang untuk mendaftar ke universiti-universiti ternama melalui pembekal program Pathway iaitu INTO, OnCampus dan Kumpulan Pendidikan Antarabangsa Oxford yang akan mempertimbangkan permohonan mengikut terma dan syarat.

Pembekal Pathway menawarkan program asas sarjana tahun pertama bagi mempersiapkan para pelajar untuk masuk ke universiti pilihan mereka.

Tiga penyedia laluan yang menghadiri pameran berkenaan hari ini menawarkan program yang membuka laluan kepada lebih 40 universiti terkenal di UK.

Pada acara berkenaan, pegawai dari Kementerian Pendidikan, Majlis Kebangsaan Pengiktirafan Kelulusan Brunei Darussalam dan Bahagian Biasiswa menyediakan maklumat lanjut mengenai pengiktirafan dan sebagainya.

Juga hadir semasa pesta berkenaan ialah wakil dari Bank Islam Brunei Darussalam untuk menerangkan mengenai pembiayaan pembelajaran, Plux-EXP dengan produk penempatan dan CfBT untuk memberikan penera-ngan mengenai ujian Bahasa Inggeris IELTS.