Oleh Yusrin Junaidi
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Jun – Pesta Pengguna ke-21 (CF21) membuka tirainya hari ini di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas di mana ia akan berlangsung selama lima hari hingga 1 Julai.
Perasmiannya telah disempurnakan oleh Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.
Juga hadir pada majlis pelancaran tersebut ialah pegawai-pegawai kerajaan, para perwakilan luar negara ke Brunei Darussalam, ketua-ketua organisasi dan rakan kongsi CF21.
Pengarah Eksekutif D’Sunlit Sdn Bhd, Dato Paduka Haji Danial bin Haji Hanafiah dalam ucapannya menjelaskan, CF21 mengetengahkan kira-kira 357 petak jualan yang menampilkan pelbagai produk berkualiti seperti barang elektronik, makanan, hadiah, perkhidmatan kewangan dan bermacam-macam lagi dari dalam dan luar negara.
CF21 juga memfokuskan untuk menyokong dan menggalakkan produk-produk tempatan.





Jelasnya lagi, tema CF21 pada tahun ini adalah ‘21st Century: Primarily Glitch and Tech’ yang bertujuan untuk merangkul kemajuan teknologi dan peredaran zaman.
“Acara ini akan dimeriahkan dengan beberapa acara menarik, bersama dengan inovasi dan penemuan terkini,” tambahnya.
Pesta Pengguna tahun ini disertai lebih 200 peserta dari dalam dan luar negara dan salah satu yang menarik perhatian pada tahun ini ialah ‘Thailand Grand Fair 2018’ dengan tema ‘The Best Thai Street Food’ yang dilancarkan oleh Menteri Kewangan II.
Pameran berkenaan mengetengahkan pelbagai jenis makanan terkenal Thailand antaranya Cha Tra Mue dan Sticky Rice Manggo serta banyak lagi.
Beberapa aktiviti terbaharu pada tahun ini termasuk ‘Human Claw’ selain tawaran-tawaran istimewa seperti daripada Cuckoo International (B) Sdn Bhd, Daycare Services oleh KindyKare International.
CF21 anjuran D’Sunlit Sdn Bhd juga akan dimeriahkan dengan aktiviti cabutan bertuah yang menawarkan hadiah-hadiah menarik
Orang ramai yang ingin mengunjungi CF21 bolehlah menggunakan perkhidmatan bas ulang-alik dari tempat letak kereta Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah.

































