Oleh Yusrin Junaidi
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 MEI – Pesta Pengguna ke-25 yang dinanti-nantikan ramai membuka tirainya hari ini di Dewan 1 dan 2, Bridex, Jerudong di mana ia akan berlangsung selama lima hari hingga hujung minggu ini.
Pelancaran acara anjuran D’Sunlit Sdn Bhd itu telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah selaku tetamu kehormat majlis dan pengarah D’Sunlit Sdn Bhd, Dato Haji Danial bin Haji Hanafiah.
Pesta Pengguna kali ini mengetengahkan tema ‘Edisi Tempatan’ dengan mempamerkan pelbagai produk tempatan dan luar negara yang dibawakan oleh syarikat-syarikat tempatan.
Sepanjang acara berkenaan, pihak penganjur juga telah menyusun beberapa aktiviti menarik seperti local village di mana pengunjung dapat mengalami dan menikmati aktiviti tradisional tempatan seperti kain tenunan, pembuatan ambuyat, pembuatan wajid dan banyak lagi.
Selain itu, tawaran terbaik juga giat dipromosikan oleh para vendor yang mengambil bahagian yang menyediakan promosi terkini dengan harga menarik.
Seperti tahun-tahun sudah, salah satu tarikan terbesar Pesta Pengguna adalah cabutan bertuah di mana orang ramai berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik.
Pihak penganjur juga melancarkan beg membeli-belah mesra keluarga CF yang dijual di lokasi strategik sepanjang acara itu.
Jualan beg mesra keluarga itu adalah salah satu usaha sama syarikat bagi menyokong inisiatif kempen ‘Tanpa Plastik Setiap Hari’ oleh Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), Kementerian Pembangunan.





