BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Jan – Seperti Buku ‘Eat Pray Love’ yang menekankan mengenai kesedaran dan evolusi diri, Pesta Pengguna ke-19 yang akan berlangsung dari 18 hingga 22 Januari ini bermatlamat membawakan pelbagai peluang kepada pengunjung untuk meluaskan pengetahuan mereka.
Ini dicapai dengan pelbagai aktiviti yang disediakan semasa acara itu nanti dan beberapa aktiviti berkenaan juga termasuk cabaran-cabaran dan bengkel pembangunan kemahiran, menurut kenyataan yang dikeluarkan D’Sunlit Sdn Bhd selaku penganjur acara dwi tahunan itu.
Salah satu pertandingan popular dalam kalangan pengunjung, pertandingan makan akan diadakan lagi semasa pesta berkenaan yang diadakan di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Menurut kenyataan itu, pengunjung yang berminat boleh memilih sama menyertai Pertandingan ‘How hot is too hot?’ anjuran Pelicana Chicken Brunei atau Triple Challenge oleh Wayback Burgers atau Makan Hot Dog oleh DQ. Para pemenang akan membawa pulang hadiah-hadiah menarik oleh para penganjur pertandingan berkenaan.
Selain itu, connoisseur kulinari pasti akan berminat dengan aktiviti pembelajaran yang disediakan seperti Demonstrasi Menghias Kek Cawan anjuran Lof Bakery.