Saturday, December 7, 2024
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pesta pokok Bangladesh rawatan bagi pencinta alam

    DHAKA – Selepas berehat selama dua tahun akibat COVID, Bangladesh telah memulakan tahun ini dengan ‘Pameran Pokok Kebangsaan’ yang berlangsung di ibu negara Bangladesh, Dhaka sejak 5 Jun lalu.

    Pameran terbesar yang dijalankan selama sebulan ini, menampilkan pemandangan indah tumbuhan topiari untuk pencinta alam yang bertempat di tapak bersebelahan Pusat Persidangan Antarabangsa Bangabandhu (BICC), juga dikenali sebagai Pusat Persidangan Persahabatan Bangladesh-China.

    Dengan membawa tema hidup secara mampan dalam harmoni dengan alam semula jadi, acara ini bertujuan untuk mempromosikan dan menggalakkan aktiviti berkebun dan menanam pokok di kalangan penduduk ibu kota.

    Ia merupakan satu terapi hebat untuk para pencinta alam semula jadi kerana pemilik-pemilik gerai telah mempamerkan tumbuhan topiari yang indah dari pelbagai jenis dari luar negara, khususnya daripada China.

    Deepak Kumar Nath, pemilik syarikat tempatan, DC Nursery and Services, antara gerai yang mempamerkan tumbuhan yang diimport daripada China.

    Seorang tukang kebun memeriksa tumbuhan topiari semasa Pameran Pokok Kebangsaan di Dhaka, Bangladesh. – Xinhua

    “Pokok di belakang saya diimport daripada China. Kami memanggilnya (secara tempatan) Faikas (Bonsai). Ia sebenarnya tumbuhan topiari,” katanya sambil menambah topiari ini dibuat seperti barang pameran antik.

    Ramai daripada pengunjung dilihat merayau di sekitar gerai-gerai yang menjual dan mempamerkan topiari, seni membentuk tumbuhan (biasanya pokok renek dan pokok malar hijau) ke dalam bentuk hiasan yang rumit atau bergaya.

    “Saya sudah lama mendengar tentang tumbuhan topiari China. Saya gembira melihat hari ini di sini tumbuhan topiari China yang sangat baik,” kata Abdur Rahim, salah seorang pengunjung.

    Dia datang bersama ahli keluarganya ke pesta berkenaan, yang merupakan acara tahunan hebat bagi pencinta alam di Bangladesh.

    Ahsanul Karim, seorang peguam bela kanan Mahkamah Agung Bangladesh, datang ke pameran itu setiap tahun. Beliau berkata pameran itu sudah dua tahun tidak diadakan kerana COVID, dan orkid khususnya adalah kegemarannya.

    “Saya mempunyai 1,500 orkid dalam koleksi saya sendiri,” katanya sambil menambah “dalam pameran seperti ini terdapat begitu banyak jenis pokok yang kita lihat dari tempatan dan negara asing.”

    “Mereka yang mencintai pokok atau bukan juga akan jatuh cinta dengan pokok dan bunga apabila datang ke pesta pokok seperti ini,” katanya.

    “Saya rasa pesta pokok ini amat penting dalam kehidupan negara kita,” katanya.

    Md Aminul Islam, seorang pegawai dari Jabatan Hutan, berkata, “Kami tidak dapat mengadakan pameran itu kerana wabak dalam dua tahun lepas. Kami telah menganjurkan pameran itu dengan penuh semangat tahun ini.”

    “Seperti biasa kami telah menganjurkan pameran itu dengan 110 gerai, sembilan daripadanya daripada jabatan kerajaan,” katanya sambil menambah walaupun bandar Dhaka kini penuh dengan bangunan kediaman atau pejabat, orang ramai masih berminat dengan penanaman seperti taman bumbung. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda