Wednesday, February 8, 2023
31.8 C
Brunei

-

Pesta Ria Inklusif raikan OKU

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 DIS – Dengan matlamat untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang perlunya menggalakkan peluang pemerkasaan dan membukakan lebih banyak akses bagi golongan orang kelainan upaya (OKU) untuk mempertingkatkan keupayaan diri serta membantu menetapkan keutamaan mereka, Pesta Ria Inklusif telah diadakan di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan hari ini.

Hadir merasmikan pesta ria itu ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

Acara bersempena Sambutan Hari Antarabangsa Orang Kelainan Upaya (HAOKU) 2022 itu dianjurkan bersama oleh KKBS melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dengan kerjasama The Impian Project, La Vida, Persatuan Orang-orang Berkerusi Roda dan Cacat Anggota (PAPDA) dan Persatuan Olimpik Khas Brunei Darussalam (SOBD) di bawah Majlis Kesejahteraan Orang Kelainan Upaya (MKOKU).

Turut hadir ialah pegawai kanan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) serta pegawai dari Kedutaan Amerika Syarikat (AS), Suruhanjaya Tinggi British dan Suruhanjaya Tinggi Kanada di Negara Brunei Darussalam, agensi-agensi kerajaan lain, MKOKU dan persatuan-persatuan di bawahnya serta wakil daripada La Vida, The Impian Project dan Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB).

Acara dimulakan dengan sesi senamrobik beramai-ramai yang dikendalikan oleh Aman Optimum Fitness dan diteruskan dengan perasmian Pesta Ria Inklusif yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi.

Beliau seterusnya mengetuai acara Fun Walk iaitu riadah berjalan kaki di sekitar Taman
Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifud-dien kemudian menyaksikan pameran serta diberikan penerangan mengenai aktiviti-aktiviti sukan adaptif dan aktiviti kesedaran yang dikendalikan oleh PAPDA, SOBD, La Vida, The Impian Project dan ISB.

Acara itu adalah seiring dengan tema sambutan iaitu Penyelesaian Transformatif bagi Pembangunan Inklusif: Peranan Inovasi dalam Memacu Dunia yang Terbuka dan Saksama, yang mengutamakan pembangunan inklusif ke arah meningkatkan perkembangan dan kesejahteraan golongan OKU dalam masyarakat.

Aktiviti itu dihasratkan dapat mengeratkan silaturahim antara golongan OKU dan masyarakat serta mewujudkan suasana positif, ceria dan mengurangkan tekanan.

Ia juga menggalakkan mereka terlibat dalam aktiviti riadah.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menyertai acara Fun Walk di sekitar Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien.
Antara yang menyertai aktiviti di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, kelmarin.

 

 

 

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Nahas Pesawat Boeing 737, 2 Juruterbang selamat

PERTH, AUSTRALIA, 7 FEB - Dua juruterbang terselamat, hanya cedera ringan selepas pesawat Boeing 737 yang dihantar untuk memadam kebakaran terhempas di Australia, kata...
- Advertisment -