Pesta Roda-Roda buka tirai

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 DIS – Pesta Roda-Roda Brunei 2019 yang akan berlangsung selama tiga hari telah dirasmikan hari ini di kawasan letak kereta Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Perasmiannya disempurnakan oleh Pemangku Pengarah Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Haji Zulzalani bin Haji Osman.

Pengarah Urusan Mortar Events, Awang Mohammad Fathullah Fuad bin Haji Abdullah dalam ucapan alu-aluannya berkata, pesta berkenaan bukan sahaja platform untuk menghibur, tetapi juga mendidik orang ramai.

Festival berkenaan dianjurkan Mortar Events, AdXpert Marketing, Nanet Enterprise, dan Wings Motors Gang Society (B), di bawah Lembaga Pelancongan Brunei sebagai sebahagian daripada Festival Disember Brunei (BDF).

Acara tersebut bertujuan untuk meraikan semua perkara yang berkaitan dengan roda dan akan dimeriahkan dengan sesi uji pandu, pameran vendor kereta dan konvoi motosikal, klinik skateboard, pertandingan basikal Fixie, pertunjukkan aksi BMX, vendor Tank RC, paparan Hot Wheels dan trak makanan.

Selain itu, Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) juga hadir bagi memberigakan kesedaran mengenai kepentingan keselamatan jalan raya, melalui pameran dan permainan trafik.

Semasa acara itu, para pengunjung juga digalakkan untuk menggunakan beg kitar semula, botol, kontainer, kutleri semata-mata untuk mengurangkan sisa sampah yang dihasilkan semasa acara berlangsung.

Di samping itu, 500 pengunjung pertama setiap hari juga akan diberikan beg kitar semula daripada Bengkel Kereta Berakas, bagi mempromosi amalan penggunaan semula, mengurangkan, dan mengitar semula.

Haji Zulzalani melawat gerai pameran Syarikat Pemasaran Brunei Shell Sdn Bhd (BSM), salah satu gerai pameran yang ikut serta semasa pesta berkenaan.