Sunday, April 20, 2025
31.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pesta Sungai meriah

    Oleh Daniel Lim

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Dis – Pesta Sungai, yang diadakan bersempena Sambutan Hari Keluarga anjuran antara lima Majlis Perundingan Mukim (MPM), yang termasuk Mukim Liang, Bukit Sawat, Labi, Sukang dan Melilas, berlangsung dengan meriahnya dengan siri perlumbaan perahu di sepanjang Sungai Mau hari ini.

    Perayaan tersebut, dengan kerjasama dengan Syarikat Metanol Brunei (BMC), Pejabat Daerah Belait, dan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) cawangan Daerah Belait, memberi peluang kepada penduduk mempamerkan kemahiran berperahu dalam beberapa kategori perlumbaan yang disediakan.

    Hadir selaku tetamu kehormat serta mengambil bahagian dalam salah satu kategori lumba perahu ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

    Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Ketua Kampung Labi 1, Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd Siput; Pemangku Pegawai Daerah Belait, Awang Ridzuan bin Ahmad, pegawai kanan dan ketua-ketua Jabatan Daerah Belait, wakil-wakil dan kakitangan dari BMC, serta ahli jawatankuasa yang terbabit dalam anjuran pesta tersebut.

    Di antara kategori yang disediakan adalah Kategori Sangkut 15HP Temuai dan Kategori Berdayung Perahu Tiga Lelaki.

    Pasukan Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan muncul pemenang selepas menewaskan pasukan ketua kampung dan wakil BMC dalam salah satu kategori yang dipertandingkan.

    Pesta tersebut juga mempertandingkan tarik kalat sungai dengan menggunakan perahu yang didayung oleh pasukan empat orang lelaki.

    Dalam Kategori Sangkut 15HP Temuai, Azmi dengan perahu nombor dua berjaya memenangi tempat pertama keseluruhan, diikuti oleh Nyanggau dengan perahu nombor empat dan Yusni dengan perahu nombor satu, masing-masing meraih tempat kedua dan ketiga.

    Sementara itu bagi Kategori Berdayung Perahu Tiga Lelaki, Pasukan Garuda Merangking berjaya memperoleh tempat pertama dengan perahu nombor lapan, disusuli oleh Pasukan Tabuan Muda A dengan perahu nombor satu dan tempat ketiga disandang oleh pasukan Sg Mau Black Panther dengan perahu nombor dua.

    Manakala dalam perlumbaan yang disertai oleh Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan, pasukan beliau berjaya melepasi garisan penamat sebagai juara, diikuti oleh pasukan ketua kampung dan wakil BMC yang masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

    Pada akhir acara, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan turut berkesudian menyampaikan hadiah para pemenang bagi setiap kategori yang dipertandingkan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda