Oleh Noorhamizan Haji Mohd Mosbi
TEMBURONG, 5 Ogos – Acara-acara bersempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Da ussalam ke-72 tahun bagi Daerah Temburong diteruskan dengan Pesta Sungai yang berlangsung di Sungai Temburong, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya berkesudian melepaskan para peserta perlumbaan sebagai buka tirai ialah Penolong Pegawai Daerah Temburong, Awang Mohammad Khairul Shahrul bin Haji Duahim.
Acara lumba perahu Pesta Sungai tersebut adalah merupakan salah satu acara bagi menyambut dan memeriahkan lagi suasana sambutan perayaan di peringkat Daerah Temburong yang dibukakan penyertaan kepada peserta dari dalam dan juga luar daerah.

Menurut Ampuan Haji Salleh bin Ampuan Haji Judah selaku Pengerusi Pesta Sungai 2018 berkata bahawa dengan penganjuran beberapa kategori perlumbaan lumba perahu seperti Lumba Rising Terbuka, Lumba Perahu Kayu Bidar Terbuka dan Lumba Perahu Fiber Nelayan setentunya akan merangsang generasi muda untuk meminati serta mempertahankan tradisi tersebut.
Sebanyak 15 kategori telah dipertandingkan, di mana jelasnya lagi, ianya akan dapat memupuk serta menyemai penyatuan silaturahim di kalangan ahli jawatankuasa dalam kerja berpasukan dan beberapa orang sukarelawan.
Turut hadir pada acara tersebut ialah penghulu dan ketua-ketua kampung, pegawai-pegawai kanan, ketua-ketua jabatan dan cawangan Daerah Temburong serta orang ramai termasuk penduduk jiran dari Limbang dan Lawas serta pelancong dari luar negara.