PeSTAB sertai festival di Filipina

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 FEB – Dengan hasrat untuk mengeratkan perpaduan antara negara-negara ASEAN menerusi keindahan seni kebudayaan masing-masing, Penggiat Seni Tanah Air Brunei (PeSTAB) telah mewakili Negara Brunei Darussalam dalam Mesyuarat Persatuan Boneka ASEAN (APA) ke-8 dan Festival ASEAN ke-7 di Manila, Filipina yang berlangsung selama tiga hari, baru-baru ini.

Semasa festival bertemakan ‘ASEAN Goes Green’ itu, rombongan yang diketuai oleh Awang Seruddin bin Haji Awang Damit selaku pengarah PeSTAB bersama dua orang artis tempatan itu mengikuti pelbagai aktiviti kesenian dan kebudayaan bersama wakil negara-negara yang terlibat seperti persembahan boneka berdurasi 10 hingga 15 minit yang mengandungi mesej pemeliharaan alam sekitar yang diadakan di Auditorium Universiti Metro Manila.

Awang Seruddin yang juga bertanggungjawab sebagai penyanyi, pelakon teater dan penari semasa persembahan kesenian dan kebudayaan itu berharap dengan adanya penglibatan sebegini diharap akan dapat meningkatkan prestasi dan kualiti bakat serta kemahiran para peserta untuk sama-sama memartabatkan nilai-nilai kesenian dan kebudayaan negara masing-masing di mata dunia.

Selain itu, ia juga secara tidak langsung dapat membuka minda masyarakat khususnya para generasi penerus bangsa di negara untuk sentiasa aktif menceburi dunia kesenian dan kebudayaan tanah air dari semasa ke semasa.

Ahli Penggiat Seni Tanah Air Brunei (PeSTAB) yang diketuai oleh Awang Serudin telah mewakili Negara Brunei Darussalam dalam Mesyuarat Persatuan Boneka ASEAN (APA) ke-8 dan Festival ASEAN ke-7 di Manila, Filipina, baru-baru ini. – Gambar serahan Awang Seruddin