BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Julai – Seramai 21 orang pemain dan tiga orang pegawai serta seorang pengadil bertaraf ISTAF dari Persatuan Sepak Takraw Negara Brunei Darussalam (PESTABARU) akan menyertai Sukan SEA 2017 yang berlangsung di Kuala Lumpur, Malaysia.
Antara kategori yang disertai mereka adalah Kategori Regu Berpasukan, Kategori Regu, Kategori Qaet, Kategori Chin Lone 1 dan Kategori Chin Lone 3.
Negara Brunei Darussalam melalui PESTABARU juga akan menghantar seorang pengadil bertaraf ISTAF, Mohd Azman bin Haji Azmain, bagi kejohanan yang berlangsung pada 14 hingga 30 Ogos itu nanti. Beliau akan bertolak pada 16 Ogos dan kembali ke tanah air pada 30 Ogos, dengan tiket penerbangan ditaja oleh Syarikat Serikandi Oilfield Service.
Menurut satu kenyataan, presiden PESTABARU mengucapkan terima kasih kepada syarikat tersebut, terutamanya kepada pengarah urusan Syarikat Srikandi Oilfield Service, Sheikh Haji Khalid bin Sheikh Haji Ahmad atas tajaan itu.
Tajaan tiket tersebut secara tidak langsung menunjukkan komitmen dan sokongan syarikat tersebut untuk mempertingkatkan kualiti sepak takraw, khususnya dalam bidang pengadilan di negara ini.