Pesuruhjaya Tinggi Malaysia meninggal dunia

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 DIS – Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Ismail bin Haji Salam meninggal dunia di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) setelah dimasukkan ke hospital berkenaan, pagi tadi.

Allahyarham Ismail ditemui tidak sedarkan diri di kediamannya di Bandar Seri Begawan kira-kira pukul 6:30 pagi tadi dan dikejarkan ke Hospital RIPAS di mana para doktor cuba untuk memulihkannya.

Allahyarham disahkan meninggal dunia pada pukul 8:33 pagi pada usia 51 tahun menurut akhbar Malaysia, di mana ia juga melaporkan bahawa jenazahnya dibawa balik ke Kuching, Sarawak dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Matang.

Pemergian Allahyarham Ismail amat dirasai oleh rakan-rakan sejawatan dari Kor Diplomatik serta menteri-menteri kabinet Negara Brunei Darussalam yang berkunjung ke Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Negara Brunei Darussalam untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Allahyarham Ismail, menyertai perkhidmatan awam sebagai pegawai tadbir dan diplomatik di Kementerian Luar pada 1992 dan pernah memegang jawatan setiausaha Bahagian Eropah dari Januari 2018 sebelum dilantik sebagai pesuruhjaya tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam.

Allahyarham meninggalkan balu, Rosita Ismail dan dua orang anak, Nur Hidayah, 23, dan Haziq, 21 yang sedang menuntut di Hungary.

Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin; Timbalan Menteri Tenaga, Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw; serta perwakilan-perwakilan dari negara-negara sahabat yang hadir di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Negara Brunei Darussalam untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, TYT Ismail bin Haji Salam yang meninggal dunia di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) pagi tadi.
Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, TYT Richard Lindsay hadir untuk menyampaikan ucapan takziah di atas pemergian Allahyarham TYT Ismail.