Oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN 22 MEI – Seramai 35 pelajar Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan) merupakan antara tetamu jemputan pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di dewan serba guna suruhanjaya tinggi berkenaan, kelmarin.
Seramai 300 rakyat Malaysia yang dijemput dibahagikan kepada dua sesi untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) perhimpunan besar-besaran semasa fasa endemik manakala tetamu dari Pusat Ehsan dihoskan berasingan pada sesi pagi.
Hadir menyambut kedatangan tetamu ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dato’ Raja Reza bin Raja Zaib Shah dan isteri, Datin Roslina Ismail.
Tuan Yang Terutama dalam ucapannya berkata, suruhanjaya tinggi berbesar hati untuk berkongsi kemeriahan musim perayaan ini dengan kanak-kanak kurang bernasib baik dari Pusat Ehsan.
Menurutnya lagi, walaupun Brunei telah melaksanakan pelonggaran sekatan COVID-19 di bawah Fasa Awal Endemik, beliau percaya masyarakat Malaysia tidak seharusnya leka.
Walau bagaimanapun sambutan tahun ini harus disambut meriah dengan penuh semangat, tambah beliau.
