Thursday, April 18, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Peta lakaran bantu anak temui semula keluarga

    BEIJING – Sejak masih kecil, Li Jingwei tidak tahu nama sebenarnya. Dia tidak tahu di mana dia dilahirkan, atau umurnya – sehinggalah dia menemui keluarganya pada bulan lalu dengan bantuan peta yang lama disimpannya.

    Li ialah mangsa penyeludupan kanak-kanak. Pada tahun 1989 semasa dia berusia 4 tahun, seorang jiran yang botak kepalanya mengumpannya dengan kata-kata manis bahawa mereka akan melihat kereta, yang jarang berlaku di kampung terpencil.

    Itulah kali terakhir dia melihat rumahnya, menurut Li. Jirannya membawanya ke belakang sebuah bukit menuju ke jalan raya di mana tiga buah basikal dan empat penculik lain sedang menunggu mereka. Li menangis, tetapi mereka meletakkannya di basikal dan menunggang meninggalkan kawasan itu.

    “Saya mahu pulang tetapi mereka tidak membenarkannya,” kata Li dalam satu temu bual bersama The Associated Press. “Dua jam kemudian, saya tahu saya tidak akan pulang ke rumah dan saya telah bertemu dengan orang jahat.”

    Dia masih ingat dibawa menaiki kereta api. Akhirnya dia dijual kepada sebuah keluarga di wilayah lain, Henan.

    Gambar yang diambil dari video menunjukkan Li Jingwei (kanan) disatukan semula bersama ibunya (tengah) dan saudara lain di Lankao di tengah wilayah China, Henan. – AP
    Li Jingwei menunjukkan butiran peta yang dilukisnya berdasarkan ingatannya tentang kampung halamannya ketika dia tinggal di Lankao di wilayah Henan, tengah China. – AP

    “Disebabkan saya terlalu kecil, hanya berusia 4 tahun, dan saya masih belum pergi ke sekolah, saya tidak dapat ingat apa-apa, termasuk nama ibu bapanya dan kampung halamannya,” katanya.

    Bagaimanapun, terukir dalam ingatannya adalah landskap kampung di barat daya bandar Zhaotong, wilayah Yunnan. Dia masih ingat kawasan gunung, hutan buluh, sebuah kolam bersebelahan rumahnya – semua tempat yang biasa dikunjungi dan tempat dia bermain.

    Selepas diculik, Li berkata dia melukis peta kampungnya setiap hari sehingga dia berusia 13 tahun supaya dia tidak akan melupakannya. Sebelum dia mencecah umur persekolahan, dia akan melukisnya di tanah, dan selepas memasuki sekolah, dia melukis peta landskap dalam buku catatan. Ia menjadi satu obsesi, katanya.

    Lebih 30 tahun selepas diculik sebuah lukisan yang teliti mengenai landskap kampungnya telah membantu polis mengesan dan menjejakinya kepada ibu dan adik-beradik kandungnya.

    Dia terdorong untuk mencari keluarganya selepas dua pertemuan semula menjadi tajuk berita utama pada tahun lalu. Pada Julai, seorang bapa China, Guo Gangtang, disatukan semula bersama anak lelakinya selepas mencari selama 24 tahun, dan pada Disember, Sun Haiyang disatukan semula bersama anak lelakinya yang diculik selepas 14 tahun.

    Laporan penculikan kanak-kanak sering berlaku di China, walaupun berapa kerap ia berlaku masih tidak jelas. Masalah tersebut diburukkan lagi oleh sekatan sehingga 2015 yang hanya membenarkan kebanyakan pasangan bandar mempunyai seorang anak.

    Li memutuskan untuk bercakap kepada ibu bapa angkatnya untuk petunjuk dan merujuk kepada pangkalan data DNA, namun gagal menemui sebarang hasil. Kemudian dia menemui anggota sukarelawan yang mencadangkan dia menyiar video mengenai dirinya di laman Douyin, platform media sosial, bersama peta yang dilukis berdasarkan ingatannya.

    Dia hanya mengambil masa 10 minit untuk melukis semula apa yang telah dilukisnya beratus, mungkin beribu kali semasa dia masih kecil, katanya.

    Video tersebut menerima puluhan ribu tontonan. Pada masa itu, Li berkata polis telah pun mengurangkan lokasi berdasarkan sampel DNAnya, dan peta lukisan tangannya membantu penduduk kampung mengenal pasti sebuah keluarga.

    Li akhirnya berhubung dengan ibunya menerusi telefon. Dia bertanyakan tentang parut di dagunya yang dikatakannya disebabkan terjatuh dari tangga.

    “Apabila dia menyebut tentang parut, saya tahu dialah ibu kandung saya,” kata Li.

    Butir-butir lain dan kenangan lain mula jelas difahami, dan satu ujian DNA mengesahkan warisannya. Dalam satu pertemuan semula yang penuh emosi pada Tahun Baharu, dia melihat ibunya untuk kali pertama sejak dia berusia 4 tahun.

    Ketika Li berjalan ke arah ibunya, dia rebah ke tanah disebabkan terlalu terharu. Dibantu oleh adik lelaki dan adik perempuannya, akhirnya dia memeluk ibunya dengan erat.

    Li menangis apabila bercakap mengenai bapanya, yang telah meninggal dunia. Kini bapa kepada dua anak remaja, Li berkata dia akan membawa keluarganya menziarahi kubur bapanya bersama semua ibu saudara dan bapa saudara semasa perayaan Tahun Baharu Cina pada bulan depan.

    “Ia betul-betul akan menjadi satu pertemuan semula yang besar,” katanya. “Saya mahu memberitahunya bahawa anak lelakinya sudah kembali.” – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Terumbu Sawar Besar alami pemutihan karang paling teruk

    CANBERRA, 17 APRIL - Sebahagian besar Terumbu Sawar Besar yang ikonik di Australia mengalami pemutihan karang pada musim panas 2023-24, menurut laporan kerajaan. Agensi kerajaan...