Petai gergasi ditemui?

BANJARNEGARA, 26 MAC – Sejenis buah yang mirip buah petai bersaiz gergasi ditemui penduduk di Banjarnegara, Jawa Tengah dan tular di laman media sosial.

Walau bagaimanapun, ketua agensi pemuliharaan alam sekitar, Konservasi Sumber Daya Alam (BKSDA), di Jawa Tengah, Adi Antoro mengatakan, buah itu bukanlah petai, namun lebih dikenali sebagai entada, menurut laporan Detik News. Beliau meminta penduduk untuk tidak memetik dan memakan buahtersebut.

“Pihak kami telah ke tempat pokok itu ditemui yang terletak di hutan simpan Pringamba 2. Ia bukan petai, tetapi entada jenis liana. Tumbuhan ini juga tidak boleh dimakan,” katanya.

Tambahnya, buah sepanjang 120 sentimeter ini merupakan jenis kekacang dan rasanya pahit. Buah itu tular di laman media sosial baru-baru ini apabila seorang pemuda dikenali sebagai Bahrin menemui ‘petai gergasi’ itu ketika memasuki hutan untuk mencari sumber air. Menurutnya, penduduk tidak pernah menemui buah itu sebelum ini dan ia ternyata luar biasa. “Saya menemuinya di hutan simpan terletak tujuh kilometer dari perkampungan kami. Saya teruja kerana pertama kali melihat buah sebesar itu dan terus membawanya untuk ditunjukkan kepada penduduk kampung lain. – Agensi

Bahrin bersama rakannya menunjukkan buah dianggap petai gergasi. – Agensi