PETANAH sasar perluas tamu besar kendaliannya di Sabah

TAMPARULI, 4 MAC – Persatuan Petani dan Penternak Bumiputera Sabah (PETANAH) akan memperluaskan penganjuran tamu besar kelolaannya ke daerah lain di Sabah untuk memberi peluang kepada petani dan penternak memasarkan produk keluaran mereka.

Presidennya, Gaibin Ransoi berkata selepas kejayaan penganjuran pertama tamu besar selama dua hari di Tamparuli, sasaran seterusnya adalah daerah Kiulu, Kota Belud, Ranau, Kota Marudu, Manggatal dan Penampang.

“PETANAH sudah menyusun jadual pengendalian tamu besar di daerah berkenaan dan jika memperoleh sokongan pelbagai pihak, tamu besar itu akan menemui petani dan penternak di kawasan terbabit sepanjang tahun ini,” katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata tamu besar pertama anjuran PETANAH itu berjaya menghimpunkan lebih 120 peniaga kecil dari daerah Tamparuli dan sekitarnya, yang memasarkan produk tempatan seperti sayur-sayuran kampung, buah-buahan, ikan air tawar, herba, bunga dan kraf tangan.

Gaibin berharap penduduk setempat terus memberi sokongan kepada tamu besar PETANAH yang akan diadakan di daerah mereka yang juga menjadi punca rezeki kepada petani dan penternak Bumiputera. – Bernama