NEW DELHI – Lebih 150 petani dari negeri Tamil Nadu tiba di New Delhi pada Mac dan melancarkan protes berterusan yang memeranjatkan masyarakat tempatan.
Kalau hendak diikutkan, penduduk New Delhi sudah biasa dengan pelbagai pihak melancarkan protes dan biasanya mereka akan tidak memperdulikannya.
Bagaimanapun, keadaan berbeza apabila kumpulan petani ini melancarkan protes di kawasan Jantar Mantar, tidak jauh dari bangunan Parlimen, kementerian dan pejabat kerajaan.
Petani dari lembangan Cauvery di selatan India yang dilanda kemarau menuntut kerajaan memberi bantuan untuk meringankan tanggungan hutang dan mahukan lebih banyak air sungai untuk tanaman mereka.
Mereka mendakwa keadaan ekonomi mereka terjejas teruk akibat kemarau dan semakin ramai orang dihimpit kemiskinan dan hutang. Petani yang melancarkan protes itu membawa bersama mereka tengkorak orang yang mereka dakwa membunuh diri kerana kesempitan hidup.


Tindakan mereka itu menarik perhatian media dan inilah yang diharap-harapkan oleh petani yang melancarkan bantahan itu. Bagaimanapun, pihak media dilaporkan tidak memberi perhatian serius terhadap nasib petani ini dan keadaan ini mencetuskan debat hangat mengenai nasib petani Tamil Nadu dan masalah yang serupa di negeri lain.
Tindakan petani membunuh diri ini dilaporkan berlaku di bahagian lain India tetapi penduduk di kawasan itu tidak datang ke Delhi dengan membawa tengkorak atau melakukan tindakan nekad untuk meluahkan masalah yang mereka hadapi.
“Kami terpaksa mengambil tindakan ini. Kami tak mahu tidur di tepi jalan di Delhi dengan cuaca panas terik. Kami tak ada bekalan air, tak ada makanan yang mencukupi dan kami perlu melakukan sesuatu untuk mencari keadilan. Macam mana lagi cara untuk kami lakukan supaya kerajaan mendengar keluhan hati kami?” kata P. Ayyakannu, jurucakap kumpulan petani yang melancarkan protes.
“Sewaktu pilihan raya ahli politik berkata petani adalah tulang belakang ekonomi India tetapi petani menjadi hamba selepas pilihan raya,” katanya.
Berang dan kecewa dengan sikap kerajaan persekutuan yang didakwa tidak membantu mereka, petani berkenaan pada hari Sabtu lalu mengumpul air kencing mereka di dalam botol dan mahu minum air itu sebagai lambang protes dan menunjukkan masalah krisis air di tempat mereka. Bagaimanapun, polis menyekat petani itu daripada berbuat demikian.
“Polis Delhi menyekat kami daripada minum air kencing kami jadi kami kumpulkan air kencing untuk di bawa ke Tamil Nadu dan menjiruskannya di ladang kami yang tiada air, ” kata Ayyakannu, presiden South Indian Rivers Linking Farmers Association, memberitahu pemberita di tempat protes.
Kumpulan petani kemudiannya cuba berarak ke kediaman perdana menteri tetapi dihalang polis di kawasan Jalan Jantar Mantar yang menjadi tempat protes di bahagian tengah Delhi.
Selepas 40 hari, petani itu menangguhkan protes mereka pada hari Ahad lalu ekoran mesyuarat dengan Ketua Menteri Tamil Nadu E. Palaniswami, yang berjanji dengan petani itu beliau akan memberi perhatian kepada tuntutan mereka.
Sebelum ini, kumpulan petani yang melancarkan protes berikrar untuk tinggal di Delhi untuk selama 100 hari sekiranya masalah mereka tidak diselesaikan. Dengan memakai cawat dan dhoti, petani itu mencuba taktik lain untuk menarik perhatian orang ramai.
Mereka membotakkan kepala, meletakkan tikus dan ular di dalam mulut mereka, membantai diri sendiri, membuka pakaian dan menggulingkan badan di jalan raya berhampiran pejabat perdana menteri. Malah mereka juga mengugut akan makan najis manusia.
Memandangkan kumpulan petani itu telah menghentikan protes mereka untuk membolehkan kerajaan mencari penyelesaian kepada masalah mereka, sekurang-kurangnya tidak perlu untuk orang ramai melihat mereka makan najis manusia.
Lembangan Cauvery Tamil Nadu adalah antara kawasan yang paling teruk dilanda kemarau tetapi petani semakin tertekan akibat masalah kekurangan air yang semakin meruncing, harga komoditi yang lemah serta beban hutang bank dan ceti haram.
Menurut Suruhanjaya Hak Asasi Kemanusian Kebangsaan India, lebih daripada 100 petani membunuh diri di Tamil Nadu pada bulan Januari tahun ini. Perangkaan Biro Catatan Jenayah Kebangsaan menunjukkan kira-kira 12,600 petani kecil dan pekerja buruh pertanian membunuh diri pada 2015.
Beberapa bahagian Maharashtra, Uttar Pradesh, Bihar, Chhattisgarh, Madhya Pradesh, Karnataka, Telangana, Odisha dan Benggala Barat dilanda kemarau panjang. – Bernama