Wednesday, November 6, 2024
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Petani Iraq hadapi krisis air yang meruncing

    BAGHDAD – Di antara pokok-pokok kering di ladangnya di wilayah Salahudin di Iraq, utara Baghdad, Walid Ali Mohammad berdiri tidak berdaya, mengadu tentang kemarau yang membunuh pokok dan haiwannya serta memusnahkan satu-satunya sumber rezeki keluarganya.

    “Ladang dan tanaman saya menjadi kering. Haiwan saya mati kerana kehausan. Kekurangan air memusnahkan hidup saya,” kata Mohammed yang berusia 36 tahun.

    Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, sungai kecil yang mengalir melalui kampung Mohammed Kubaiba mula mengering.

    “Kini, hanya tinggal sedikit pokok hijau dan ladang itu bertukar menjadi tanah tandus,” kata Mohammed, yang pernah menanam buah sitrus di tanahnya.

    Seorang petani berdiri di tengah ladangnya, yang kelihatan retak akibat kemarau dan kekurangan air, di wilayah Salahudin, Iraq. – Xinhua

    Dikenali pada zaman purba sebagai Mesopotamia atau tanah di antara dua Sungai Tigris dan Euphrates, tanah ladang subur Iraq berada dalam bahaya hari ini di tengah-tengah perubahan iklim yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

    Menurut Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Iraq berada di kedudukan kelima negara paling terdedah kepada perubahan iklim di dunia, yang akan memberi kesan negatif kepada keselamatan sosial dan kesihatan di negara yang dilanda perang itu.

    “Kami mengalami kekurangan air yang teruk kerana lebih 90 peratus air datang dari luar sempadan,” kata Menteri Alam Sekitar Iraq Jassim al-Falahi kepada Xinhua, merujuk kepada Turki dan Iran.

    Menteri itu berkata, antara langkah paling berkesan yang perlu diambil ialah merasio-nalkan penggunaan air dalam pertanian dan pengairan, se-perti penggunaan pengairan titis atau perenjis.

    Kerajaan Iraq sedang menjalankan kempen besar-besaran untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan menghadapi kesan perubahan iklim, tambah al-Falahi.

    Hameed al-Nayef, jurucakap Kementerian Pertanian, menegaskan bahaya kekurangan air mengancam keselamatan makanan di Iraq.

    “Terdapat bahaya dan ancaman sebenar kepada keselamatan makanan di Iraq akibat kemarau dan kekurangan air, yang telah menyebabkan pemotongan ketara di kawasan pertanian tahun ini, dan ini memberi kesan kepada kehidupan petani,” kata al-Nayef kepada Xinhua.

    Beliau juga berkata, salah satu rancangan kementerian untuk menghadapi krisis air di Iraq adalah bergantung kepada air bawah tanah dan menggali telaga sebagai alternatif untuk mengairi kawasan pertanian.

    Ali Radhy, jurucakap Kementerian Sumber Air, menyatakan “isu air adalah sangat penting dan asas kepada ke-selamatan makanan.”

    Radhy berkata, Kementerian Sumber Air telah membuat perancangan untuk menghadapi masalah kekurangan air itu termasuk menggerudi telaga di kawasan yang dilanda kemarau dan memasang stesen pam air bagi membekalkan beberapa kawasan yang tidak mendapat bekalan air berikutan paras sungai yang rendah. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda