Petani kacang hazel Turki kesali monopoli pasaran Nutella

AKYAZI, TURKI – Berlutut dari subuh hingga senja, petani Turki yang memetik kacang hazel yang kebanyakannya digunakan dalam sapuan Nutella, mengeluh tentang eksploitasi dan gaji yang tidak seberapa, membangkitkan pertikaian mengenai hak buruh.

Kacang kecil berbentuk hati yang menjadikan Nutella sebagai sapuan menyelerakan untuk dinikmati, komoditi yang dihargai di Turki, yang menyumbang 82 peratus daripada eksport global. Tetapi kenikmatannya tidak dikongsi oleh Mehmet Sirin, seorang pemuda berusia 25 tahun dari tenggara Turki kebanyakannya etnik Kurdish yang mengembara ke lembah utara subur dipenuhi pokok hazel untuk mencari rezeki semasa musim menuai.

“Kami bekerja 12 jam sehari. Ini adalah kerja yang mencabar,” kata Sirin, hood melindunginya daripada hujan renyai-renyai sejuk yang menutupi tanah berdaun di mana kacang hazel bersembunyi selepas masak dan gugur dari pokok.

“Kacang hazel yang kami pilih dieksport ke luar negara dan kembali dalam bentuk sapuan Nutella. Mereka mendapat keuntungan lebih daripada kami. Ini adalah eksploitasi,” katanya di bandar Laut Hitam Akyazi.

Sapuan yang terkenal di dunia itu dibuat oleh syarikat konfeksi Ferrero Itali, pembeli kacang hazel terbesar di Turki. Coklat gergasi global lain dihasilkannya termasuk coklat Ferrero Rocher dan coklat berbentuk bujur telur, Kinder.

Bahri Koyu, seorang pekerja pertanian bermusim semasa ditemu bual di sebuah kebun kacang di daerah Akyazi. – AFP
Pekerja mengumpulkan kacang hazel di kebun kacang di daerah Akyazi, di Sakarya. – AFP
Seorang pekerja mengusung beg berisi kacang hazel. – AFP
Beberapa orang pekerja mencuci kacang hazel yang baharu dipetik sebelum proses pengeringan. – AFP

Pengeluar kacang hazel mengeringkan kacang di atas kanvas selepas dicuci di kebun kacang. – AFP

Namun syarikat Itali itu meraih reputasi buruk di Turki, di mana petani dibayar kira-kira 12 euro (AS$14) sehari dengan mengumpul kacang dari tanah dan memasukkannya ke dalam karung besar yang kemudian diusung di belakang mereka.

“Mereka memonopolinya, mereka bebas menentukannya,” kata Aydin Simsek, 43, seorang pengeluar tempatan yang memerhatikan sekumpulan pekerjanya memetik kacang dari sudut matanya.

“Awda lihatlah keadaan kami, betapa gigihnya kami bekerja,” katanya sambil menjelaskan harga yang dia dapat untuk sekilogram (2.2 paun) kacang hazel telah turun kepada 22.5 lira (AS$2.30).

“Tahun ini, saya tidak akan menjual kacang hazel saya kepada Ferrero,” katanya.

Ferrero mempunyai enam fasiliti dan menggupah lebih 1,000 orang di Turki, di mana ia telah mendapatkan sumber kacang hazel di seluruh wilayah Laut Hitam utara negara yang kaya dengan pertanian itu sejak 35 tahun lalu.

Pada tahun 2014, ia memperoleh Kumpulan Oltan Turki, peneraju pasaran tempatan yang memperoleh, memproses dan menjual kacang hazel. Jurucakap Ferrero memberitahu AFP syarikat Itali itu tidak terbabit secara langsung “memiliki atau menguruskan ladang di Turki dan tidak mendapatkan sumber kacang hazel secara langsung daripada petani”.

Ia “memperoleh kacang hazel yang diperlukan untuk produknya yang mematuhi peraturan pasaran bebas dan berdasarkan dinamik pasaran,” kata jurucakap Ferrero. Hujah ini membuatkan petani Turki tidak terkesan.

“Demi Tuhan, mereka membeli kacang hazel dengan harga 22 hingga 23 lira sekilo dan menjualnya dengan harga AS$23,” kata presiden Dewan Pertanian Turki cawangan Istanbul, Omer Demir.

“Turki mengeksport kira-kira 300,000 tan kacang hazel ke seluruh dunia. Alangkah peliknya hanya syarikat asing yang mendapat keuntungan daripada perniagaan ini,” katanya, penuh ironi.

Demir berkata Ferrero dan syarikat global lain yang menyumberkan kacang hazel Turki menyediakan alat dan baja untuk petani, membayar hasil tuaian mereka terlebih dahulu. Mereka ‘melakukannya sendiri’, kata Demir, menyeru pihak berkuasa persaingan Turki untuk campur tangan.

“Jika tidak, mereka akan mengawal segala-galanya di mana-mana dan kami akan sampai ke tahap di mana kami tidak boleh menjual produk kami kepada orang lain selain mereka,” kata Demir.

Pengeluar Cabbar Saka sudah merasa seperti dia tiada pilihan, menjual hasil tuaiannya sepanjang bulan kepada peniaga yang bekerja bagi pihak syarikat Itali itu.

“Saya memerlukan wang tunai kerana anak perempuan saya akan berkahwin,” kata Saka.

“Pengeluar takut untuk bersuara menentang Ferrero,” kata Sener Bayraktar, yang mengetuai dewan pertanian Akyazi.

“Mereka takut jika mereka bersuara, mereka tidak lagi dapat menjual kacang hazel mereka.”

Untuk penyelesaian, Bayraktar mahu Lembaga Bijian Turki, pengawal selia negeri yang menyelia harga, penyimpanan dan pembayaran meningkatkan kuotanya supaya pengeluar boleh menjual lebih banyak kacang, mempelbagaikan pangkalan pelanggan mereka.

Kerajaan Turki telah berkata ia bersedia untuk membantu, meningkatkan harapan tempatan. Di Akyazi, di mana petani mengeringkan hasil tuaian mereka di atas kanvas yang tersebar di halaman rumah depan mereka, pengeluar Simsek berkata dia mahu melepaskan pergantungannya kepada orang Itali secepat mungkin.

“Seandainya Nutella telah membeli kacang hazel kami secara adil, jika ia tidak menindas kami, kami akan berbangga dan memakannya sendiri,” katanya.

“Tetapi cara mereka beroperasi, kita tidak sanggup makan Nutella lagi.” – AFP